KFC buat aduan kepada SC mengenai Kulim
KFC Holdings (Malaysia) Bhd (KFCH) berkata ia telah menulis kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk mengemukakan beberapa aduan mengenai tindakan yang diambil oleh Kulim (Malaysia) Bhd.
KFC Holdings (Malaysia) Bhd (KFCH) berkata ia telah menulis kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk mengemukakan beberapa aduan mengenai tindakan yang diambil oleh Kulim (Malaysia) Bhd.
Dalam satu kenyataan hari ini, KFCH berkata Kulim telah cuba meletakkan sekatan yang tidak adil dan tidak sewajarnya ke atas perjalanan perniagaan
dan hal ehwal KFCH.
KFCH berkata ia juga membuat aduan bahawa Kulim telah cuba menggunakan
pengaruh dan kuasa dengan berhasrat untuk menentukan, atau
sekurang-kurangnya mempengaruhi, komposisi lembaga pengarah KFCH.
Selain itu, KFCH memohon supaya SC meminta Kulim menyatakan dengan
jelas tentang hasratnya berhubung mana-mana pembelian saham atau kuasa ke
atas hak mengundi, dan setakat mana kepentingan yang dimiliki Kulim dan
pihak-pihak yang bersekutu dengannya dalam KFCH.
KFCH berkata, ia mengambil keputusan untuk membuat aduan itu minggu
lalu selepas menerima sepucuk surat bertarikh 28 Julai daripada penguamcara
Kulim kepada syarikat sekutunya, QSR Brands Bhd, yang memberi amaran kepada
beberapa pengarah KFCH tentang cara KFCH mengendalikan perniagaan dan hal
ehwalnya, dan cuba meletakkan sekatan ke atas perkara-perkara ini.
Ia berkata, satu salinan surat dari Kulim itu telah dibentangkan oleh Datuk Johari Abdul Ghani, pengarah KFCH dan juga QSR, pada mesyuarat lembaga KFCH minggu lalu.
KFCH berkata ia juga menerima sepucuk surat bertarikh 29 Julai daripada Hassim Baba, seorang pengarah bebas dan bukan eksekutif KFCH, yang mengemukakan permohonan bagi pihak Kulim agar KFCH "menghentikan tawaran persendirian sebanyak 10 peratus saham KFCH dan kegiatan lain yang tidak berkaitan dengan perniagaan teras KFCH".
Menurut laporan Bernama, ia berkata dalam sepucuk surat lagi yang bertarikh 1 Ogos, dari Hassim kepada KFCH dan QSR, dan bagi pihak Kulim, permintaan telah dibuat kepada sembilan pengarah KFCH supaya meletakkan jawatan menjelang 3 Ogos.
KFCH berkata jika terbukti ataupun disahkan oleh Kulim bahawa surat yang disampaikan oleh Hassim kepadanya (KFCH) itu bukan merupakan kehendak
atau amaran daripada Kulim, maka KFCH meminta SC memberi panduan dan
menyiasat bagaimana surat itu disampaikan kepada KFCH oleh Hassim.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.