Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Seri Kerk Choo Ting berkata beliau masih belum memuktamadkan keputusannya untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti 27 Ogos ini.

Meskipun beliau pernah mengatakan akan mempertahankan jawatannya dalam parti, perkembangan terbaru dalam parti memerlukan beliau menimbangkan semula keputusannya yang terdahulu.

"Ia masih belum muktamad lagi. Saya masih mempertimbangkannya. Jika anda bertanya sama ada saya akan mempertahankan jawatan, sudah tentu saya akan menjawab ya. Bagaimanapun, keputusan ini belum lagi muktamad," katanya.

Kerk ditanya sama ada beliau masih mengekalkan keputusannya untuk mempertahankan jawatannya dalam parti selepas Naib Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini mengumumkan untuk bertanding bagi jawatan yang sama.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata beliau memutuskan untuk menerima pencalonan bagi jawatan nombor dua parti berikutan permintaan daripada anggota di peringkat akar umbi, dan berharap agar Kerk, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, akan menimbangkan untuk berkhidmat selaku penasihat kebangsaan parti.

'Bukan satu kejutan'

Menurut Bernama, Koh menerima pencalonan daripada 10 negeri yang mahukan beliau bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden.

Kerk berkata pengumuman Koh hari ini "bukan satu kejutan" memandangkan berita mengenai Koh bertanding untuk jawatan itu tersebar sejak berapa bulan lalu, dan menegaskan bahawa beliau akan mengumumkan keputusan muktamadnya berkaitan perkara itu tidak lama lagi.

Kerk berkata senario terkini politik bagi jawatan nombor dua dalam Gerakan dianggapkan sebagai pertarungan antara "Hang Tuah dan Hang Jebat", dan "oleh itu, saya masih menimbangkannya."

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai permintaan Koh agar beliau memberikan pertimbangan untuk berkhidmat sebagai penasihat kebangsaan parti.