Keadaan jerebu di Lembah Klang, akibat pembakaran di Sumantra, Indonesia semakan bertambah buruk apabila indeks pencemaran udara (IPU) di Pelabuhan Kelang dan Kuala Selangor mencapai ke tahap darurat apabila bacaan IPUnya melebihi 500.

IPU bagi Kuala Selangor ialah 531 manakala IPU bagi Pelabuhan Kelang mencecah 529. Empat lagi kawasan Kuala Lumpur Petaling Jaya, Shah Alam, Putrajaya mencatatkan paras berbahaya.

Bagaimanapun menurut Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek, keputusan mengisytiharkan darurat jerebu akan ditentukan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara.

Menurut bacaan IPU di lamanweb Jabatan Alam Sekitar bagi jam 11 pagi tadi, Petaling Jaya mencatatkan bacaan 349, Shah Alam 371, Kuala Lumpur 321 dan Putrajaya 364.

Manakala kawasan Gombak, Selangor mencatatkan bacaan 234, Country Heights, Kajang (189), Nilai (179), Seremban (131), Bukit Rambai Melaka (118) dan Tanjung Malim, Perak (132).

Menurut kiraan IPU, 51-100 dianggap sederhana, 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat), 301 ke atas (Berbahaya), 500 ke atas (amat berbahaya).

Sehingga ini, kawasan di negeri-negeri lain mencatatkan bacaan IPU di bawah 100.

Manakala Chua memberitahu sidang akhbar pagi ini bahawa semua sekolah diarahkan tutup apabila tahap bacaan IPU di tempat mereka mencapai 300.

Di samping itu, katanya jawatankuasa peringkat kebangsaan dan peringkat Selangor turut ditubuhkan untuk memantau keadaan jerebu.

Syor isytihar darurat

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengesyorkan supaya kerajaan pusat mengisytiharkan segera darurat alam sekitar berikutan jerebu tebal di beberapa kawasan di negara ini.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi mengelakkan kesulitan kepada orang ramai selain mengelakkan kemalangan udara yang boleh berlaku berikutan jarak penglihatan yang semakin berkurangan.

"Kalau darurat disytiharkan senang sikit, orang tak tempah tiket (penerbangan) kerana tahu darurat. Kalau tidak, susah orang yang tempah...dok harap boleh terbang tapi tau-tau tak boleh pergi kerana kadar jerebu menebal," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai keadaan jerebu yang melanda negara sekarang.

"Penerbangan bagaimana? Takkan diserahkan kepada pilot (semata-mata) memandangkan keadaan udara sentiasa berubah-ubah," katanya selepas merasmikan Seminar Kefahaman Sektor Perbankan anjuran Takaful Malaysia, di Kota Bharu.

Laporan akhbar menyebut kerajaan hanya akan mengisytiharkan darurat alam sekitar jika Indeks Pencemaran Udara mencecah bacaan 500.

Keadaan jerebu yang semakin buruk itu menyebabkan semua sekolah di ibu negara, sebahagian Selangor serta universiti di Shah Alam diarah tutup.

Sambil menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan pentadbiran kerajaan pusat, Nik Abdul Aziz berharap pemerintah Indonesia melaksanakan satu sistem pembakaran hutan yang teratur seperti menjalankan kerja-kerja pembakaran pada waktu malam.

"Kalau kita nak sekat mereka daripada membakar payah juga kerana kita di sini juga membakar hutan tapi kita minta tolong pihak jiran kita supya berhati-hati supaya buat sistem teratur dengan membakar pada waktu malam supaya embun boleh menekan asap, wallahualam," katanya.