Paling Popular
Terkini

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini melahirkan rasa hairan dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat sering 'mengganggu' kerajaan.

Mengulas mengenai pelawaan bekas perdana menteri itu kepada Datuk Seri Najib Razak dalam program Nothing to Hide 2.0, Tengku Adnan berkata Dr Mahathir perlu berhenti daripada mengganggu kerajaan kerana waktunya telah tamat.

"Dia (Mahathir) ni dah tak betul. Tun ni kita tak faham apa dia nak. Sudah-sudahlah, waktu dia dah habis. Sudah-sudahlah.

"Apa lagi nak kacau kerajaan yang ditadbir perdana menteri sekarang. Dia (Najib) tadbir cara Najiblah.

"Barangkali dia (Mahathir) kecewa kerana anak dia tak dapat jadi naib presiden (Umno)," katanya.

Tengku Adnan berkata demikian kepada pemberita semasa majlis rumah terbuka Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu negara hari ini.

Selasa lalu Malaysiakini melaporkan, Mahathir menyatakan hasrat agar Najib menyertai beliau dalam sebuah forum yang dianjurkan bulan depan bagi menjawab pelbagai persoalan yang akan dibangkitkan.

Melalui program Nothing to Hide 2.0 juga, kata negarawan itu, beliau akan menjawab semua soalan yang dibangkitkan, termasuk tuduhan berkaitan salah laku dana awam.

Forum pada 13 Ogos itu akan bermula pada jam 3 petang dan dikendalikan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Semasa sesi forum itu, Mahathir berkata, beliau bercadang untuk menyoal Najib mengenai isu 'derma' RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian perdana menteri itu.

Nothing To Hide asalnya adalah program dianjurkan untuk Najib bagi membolehkan beliau berinteraksi dengan orang ramai mengenai isu 1MDB pada 5 Jun 2015

Bagaimanapun, sesi itu tidak berjalan seperti yang dirancang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasrat Datuk Seri Jamal Md Yunos yang ingin bertanding jawatan ketua Pemuda Umno, Tengku Adnan enggan mengulasnya.

"Tak ada komen," kata setiausaha agung Umno itu ringkas.

Jamal pada 18 Julai lalu mengadakan pertemuan dengan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Katanya, Nazri memberitahu jika beliau serius, menteri itu akan menyatakan sokongan kepadanya.

 

Lihat Komen
ADS