Persatuan pelajar tuntut UM tarik balik tuduhan haram terhadapnya
Universiti Malaya telah mengecap salah sebuah persatuan pelajarnya sebagai 'haram'. Berikutan itu, persatuan berkenaan, Persatuan Untuk Belia Baru Universiti Malaya (Umany), menuntut UM supaya menarik balik tuduhan tersebut.
Universiti Malaya telah mengecap salah sebuah persatuan pelajarnya sebagai 'haram'. Berikutan itu, persatuan berkenaan, Persatuan Untuk Belia Baru Universiti Malaya (Umany), menuntut UM supaya menarik balik tuduhan tersebut.
"Kami membantah tuduhan tersebut," kata Umany dalam satu kenyataan hari ini.
Umany juga menolak dakwaan pihak universiti bahawa persatuan tidak berdaftar dan oleh itu para pelajar tidak boleh menyertainya.
"Di bawah Perlembagaan Malaysia, setiap orang mempunyai hak untuk menubuh atau menyertai mana-mana persatuan. Oleh itu, pelajar UM berhak menyertai Umany," katanya.
Umany menyifatkan larangan pihak universiti tersebut supaya para pelajar tidak menyertainya, sebagai keterlaluan dan tidak munasabah.
"Tujuannya adalah untuk menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar supaya mereka mengundi pelajar-pelajar yang menyebelahi pihak universiti," kata Umany, merujuk kepada pemilihan kampus bulan depan.
Notis amaran
Semalam, malaysiakini melaporkan bahawa UM telah mengeluarkan tiga notis peringatan kepada para pelajarnya supaya jangan terbabit dalam aktiviti yang tidak diingini.
Salah satu notis tersebut melarang pelajar menyertai rombongan pelajar ke Kuala Selangor untuk melihat api-api, yang dianjurkan oleh Umany.
Para pelajar diberi amaran bahawa mereka akan dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971) jika mereka didapati terbabit dengan aktiviti persatuan tersebut.
Dalam kenyataannya itu, Umany berkata, walaupun ia tidak meminta kebenaran daripada jabatan hal-ehwal pelajar, tetapi adalah adil menuduhkannya terbabit dalam aktiviti haram.
Menurutnya, tujuan lawatan tersebut pada 30-31 Julai lalu adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai alam sekitar dan mendekatkan para pelajar kepada sejarah Kuala Selangor.
"Lawatan tersebut tidak membawa sebarang ancaman kepada masyarakat dan negara ataupun melanggar undang-undang," katanya, sambil menambah bahawa tuduhan pihak universiti itu telah mencemarkan imej Umany.
Ketika dihubungi kemudian, seorang jurucakap Umany berkata, tindakan pihak universiti itu mengeluarkan amaran selepas lawatan itu diadakan, boleh dipertikaikan.
"Mereka cuba menakut-nakutkan pelajar supaya tidak terbabit dalam aktiviti kami," kata seorang pemimpin pelajar yang tidak mahu namanya di sebut.
Terjemahan/ berita asal.

