Semua sekolah, termasuk tadika dan universiti, di seluruh Selangor ditutup sehingga Ahad ini berikutan keadaan jerebu yang membimbangkan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata arahan menurut sesi sekolah dan universiti itu akan dilanjutkan antara dua dan tiga hari selepas itu sekiranya keadaan tidak berubah.

Bercakap dalam sidang akhbar khas hari ini, Dr Mohamad Khir berkata keputusan itu dilakukan ekoran hampir keseluruhan kawasan di Selangor berada dalam keadaan tidak sihat dan berbahaya iaitu Indeks Pencemeran Udara (IPU) melepasi paras 300.

Beliau berkata penyeragaman penutup sekolah dan universiti itu dilakukan bagi mengelak kekeliruan di kalangan ibu bapa dan pelajar.

"Bila kita bagi tarikhnya, mudah orang merancang dan mengatur program masing-masing," katanya.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga jam 1 tengah hari tadi di Klang ialah 510, Kuala Selangor (513), melepasi tahap bahaya, Petaling Jaya (333), Shah Alam (374), Gombak (229) dan Kajang (195).

Mengenai pengisytiharan darurat di Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor ekoran IPU melebihi 500, Dr Mohamad Khir berkata perkara itu akan diumumkan oleh kerajaan persekutuan.

Tindakan sewajarnya

Katanya kerajaan negeri telah memaklumkan tentang perkembangan di Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor kepada kerajaan persekutuan untuk tindakan sewajarnya.

Menurut laporan Bernama, sebaik sahaja sidang akhbar itu selesai, Dr Mohamad Khir menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau antara lain memaklumkan secara ringkas kepada Abdullah mengenai

keputusan kerajaan negeri memberi cuti kepada para pelajar.

Abdullah kemudian menyampaikan pesanan supaya menasihatkan orang ramai

mengelak aktiviti luar ketika jerebu.

Dr Mohamad Khir berkata berikutan itu semua aktiviti luar oleh kumpulan atau individu tidak dibenarkan seperti Larian Kemerdekaan dan orang ramai digalakkan berada dalam bangunan.

Sambutan Kemerdekaan dijangka dapat dijalankan seperti biasa apabila keadaan jerebu pulih, katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai menangguhkan majlis kenduri kahwin, sebaliknya hanya meneruskan majlis akad nikah dalam bangunan.

Beliau berkata semua aktiviti kerajaan negeri yang dirancang di luar angunan juga tidak digalakkan kerana "ia boleh jadi susah bernafas bila sesak."