Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor diisytihar darurat jerebu
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengisytiharkan darurat jerebu bagi seluruh kawasan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang yang berkuat kuasa serta merta.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengisytiharkan darurat jerebu bagi seluruh kawasan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang yang berkuat kuasa serta merta.
Sehingga 11 pagi tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor mencecah 531 manakala di Pelabuhan Kelang berada pada tahap 529 paras yang diketegorikan sebagai "sangat membahayakan kesihatan".
Dalam satu kenyataan, Abdullah yang juga Pengarah Gerakan Negara, berkata status darurat jerebu di kedua-dua kawasan itu berkuatkuasa sehingga suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Beliau berkata pengisytiharan itu tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung dan tiada ada perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan kerajaan Selangor.
"Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia hendaklah mengatur dan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menjamin keberterusan keamanan dan keselamatan," tegasnya.
Bukan perintah berkurung
Berikut adalah kenyataan penuh pengisytiharan darurat jerebu
Memandangkan keadaan jerebu di kawasan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang pasa masa ini telah mencapai tahap Indeks Pencemar Udara (IPU) 500 ke atas, maka dengan ini, saya mengisytiharkan keadaan Darurat Jerebu bagi seluruh kawasan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang mulai dari sekarang hingga ke suatu masa pengisytiharan ini ditarik balik.
Adalah dijelaskan bahawa pengisytiharan Darurat Jerebu ini tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung dan juga tidak ada perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan Kerajaan Selangor sekarang ini. Walau bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia hendaklah mengatur dan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menjamin keberterusan keamanan dan keselamatan.
Satu Garis Panduan mengenai tindakan untuk menghadapi Darurat Jerebu ini disediakan seperti di Lampiran A. Semua pihak hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan berpandukan Garis Panduan tersebut.
Panduan darurat
Kenyataan tersebut juga menggariskan panduan tindakan dalam menghadapi darurat jerebu.
Apabila keadaan darurat jerebu diisytiharkan, Jawatankuasa Pengurusan Dan Bantuan Bencana Negeri hendaklah mengambil tindakan-tindakan seperti berikut:
(a) Mengeluarkan perintah penutupan semua pejabat sama ada kerajaan ataupun swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, pembinaan dan kuari.
Larangan penutupan ini adalah dikuatkuasakan kecuali bagi:
(i) Kedai-kedai yang menjual barang-barang makanan dan minuman, pasar, pasar raya;
(ii) Klinik, farmasi dan kedai-kedai ubat; dan
(iii) Perkhidmatan-perkhidmatan perlu
(b) Menentukan pemberhentian kerja-kerja tanah dan pemindahan tanah;
(c) Menasihatkan pengurangan penggunaan kenderaan persendirian;
(d) Menentukan semua sekolah ditutup;
(e) Menentukan penyebaran maklumat indeks pencemaran kepada pihak media cetak dan elektronik dibuat seberapa kerap;
(f) Meminta pihak media menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berada di dalam rumah serta tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh mereka;
(g) Kementerian Penerangan hendaklah memastikan maklumat-maklumat di atas disiarkan secara berterusan;
(h) Menentukan penguatkuasaan pengharaman pembakaran secara terbuka terus dikuatkuasakan; dan
(i) Menentukan arahan darurat jerebu ini tidak melibatkan perisytiharan perintah berkurung (kecuali keadaan-keadaan tertentu di bawah mana-mana peruntukan undang-undang mewajarkannya).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.