Paling Popular
Terkini

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menyamakan anggota DAP Datuk Zaid Ibrahim dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tengku Adnan berkata persamaan itu dibuat kerana Zaid dilihat sering 'mengganggu' kerajaan.

Mengulas mengenai pelawaan Dr Mahathir kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam program Nothing to Hide 2.0, Tengku Adnan berkata Zaid ibarat orang kecewa.

"Zaid ini pun dia ingat semacam juga, semacam orang kecewa. Bila orang kecewa bercakap, dia jadi masalahlah. Macam Tun Mahathir.

"Dia (Zaid) jadi menteri sekejap saja... jadi dia kecewa.

"Sekarang ini tak tahu apa yang dia hendak, orang-orang kecewa ini macam si luncai dengan labu," kata Tengku Adnan ketika diminta mengulas kenyataan Zaid yang menyifatkannya sebagai "tukang angguk" Najib.

Zaid, bekas ahli Parlimen Kota Baru Umno, telah dilantik sebagai senator dan dinamakan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam urusan undang-undang semasa rombakan kabinet pada Mac 2008 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, Zaid meletak jawatan itu pada bulan September tahun yang sama sebagai tanda bantahan terhadap beberapa tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

Pada awal bulan November 2008, Zaid menerima surat tunjuk sebab dari Umno berkaitan dengan surat terbukanya kepada perdana menteri dan perjumpaannya dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan ISA.

Pada 3 Disember 2008, Majlis Tertinggi Umno memecat Zaid daripada parti itu ekoran tindakannya menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Sementara itu, Tengku Adnan sebelum ini berkata bahawa perdana menteri tidak perlu melayan ajakan debat oleh pengerusi BERSATU dalam program "Nothing to hide 2.0" dan mengaggapnya sebagai tidak perlu.

Zaid kemudian dilaporkan menyifatkannya sebagai "tukang angguk" Najib, dan berkata debat itu perlu dilakukan kerana Mahathir banyak menyumbang kepada negara.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno berkata pihaknya tidak akan melayan cakap-cakap orang kecewa seperti Zaid.

"Ini masalah mereka jadi saya percaya kita tak boleh guna pakai apa cakap orang kecewa," katanya.

Selasa lalu Dr Mahathir dilaporkan menyatakan hasratnya agar Najib menyertai beliau dalam sebuah forum yang dianjurkan bulan depan bagi menjawab pelbagai persoalan yang akan dibangkitkan.

Melalui program Nothing to Hide 2.0 juga, kata Mahathir, beliau akan menjawab semua soalan yang dibangkitkan, termasuk tuduhan berkaitan salah laku dana awam.

Forum pada 13 Ogos itu akan bermula pada jam 3 petang dan dikendalikan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Semasa sesi forum itu, Dr Mahathir berkata, beliau bercadang untuk menyoal Najib mengenai isu 'derma' RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian perdana menteri itu.

Lihat Komen
ADS