PM: Isytihar darurat jerebu secara automatik bila IPU cecah 500
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama-sama Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya mengisytiharkan keadaan darurat jerebu secara automatik apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 500.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama-sama Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya mengisytiharkan keadaan darurat jerebu secara automatik apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 500.
Perdana Menteri berkata ini perlu dilakukan tanpa menunggu kelulusan daripadanya terlebih dahulu.
"Tak payah cari saya. Saya mungkin tiada di sini kerana di luar negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'National Branding and Packaging Innovation Exhibition and Conference 2005' di Universiti Limkokwing di Cyberjaya hari ini.
Hari ini, Abdullah merangkap Pengarah Gerakan Negara, mengisytiharkan keadaan darurat jerebu bagi seluruh kawasan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang yang berkuat kuasa serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak apabila bacaan IPU di kedua-dua kawasan itu melepasi 500.
Sehingga jam 11 pagi tadi, bacaan IPU di Kuala Selangor mencecah 531 manakala di Pelabuhan Klang berada pada tahap 529, paras yang dikategorikan sebagai "sangat membahayakan kesihatan".
Perdana Menteri menasihati penduduk di kedua-dua kawasan itu supaya mematuhi garis panduan tindakan dalam menghadapi darurat jerebu yang dikeluarkan Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.
Operasi lapangan terbang, pelabuhan
Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy berkata lapangan terbang dan pelabuhan di seluruh negara akan ditutup sekiranya tahap ketampakan jatuh ke jarak minimum.
Katanya, pengurusan lapangan terbang dan pelabuhan telah diberitahu supaya segera menghentikan aktiviti pendaratan dan melabuh kapal sekiranya tahap ketampakan turun ke jarak 300 meter untuk lapangan terbang dan 200 meter untuk pelabuhan.
Katanya setakat tengah hari ini lapangan terbang utama negara KLIA masih berfungsi seperti biasa manakala Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang telah ditutup semula sejak tengah hari tadi.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datuk Yap Pian Hon berkata operasi dermaga di WestPort terus ditutup, manakala NorthPort menyambung semula operasinya dalam keadaan agak perlahan setelah kedua-dua pelabuhan itu menghentikan operasi buat sementara waktu tengah hari ini.
Beliau berkata, pihak berkuasa LPK masih menunggu garis panduan kerajaan berhubung pengumuman pengisytiharan darurat jerebu di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang.
Bagaimanapun, LPK akan terus memantau keadaan dan sekiranya semakin teruk, operasi akan ditutup bagi melindungi keselamatan para pekerja, katanya.
WestPort dan NorthPort menangguhkan operasi masing-masing mulai jam 2.30 petang hingga 4.00 petang hari ini.

