Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Anggota parlimen pembangkang hari ini memaklumkan, lebih daripada 30 soalan berkaitan 1MDB telah ditolak oleh speaker Dewan Rakyat.

Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, mempersoalkan tindakan itu serta alasan yang diberikan.

Gobind berkata, sebagai seorang anggota parlimen menjadi tugas mereka untuk membangkitkan isu-isu rakyat di parlimen.

Malah, katanya, soalan-soalan yang diajukan mereka kepada pihak kerajaan juga merupakan soalan yang mudah.

"Soalan saya, saya minta perdana menteri menyatakan apakah status siasatan kes 1MDB dan SRC dan apakah tindakan yang akan diambil.

"Ia soalan yang berbangkit memandangkan tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara mengenai isu ini.

"Speaker sepatutnya tidak menolak soalan seperti ini. Speaker kena kaji balik kemudahan untuk berbahas. Ini soalan yang akan mendapat jawapan bertulis," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah anggota parlimen pembangkang lain iaitu Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, anggota parlimen Alor Setar Gooi Hsiao Leung dan anggota parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Jawapan daripada Speaker untuk menolak soalan Gobind ialah, sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan dengan tujuan hendak mendapat buah fikiran atau hendak mendapat penyelesaian berkenaan dengan perkara undang-undang yang belum menjadi masalah atau kerana hendak mendapat jawab dalam perkara yang dimisal-misalkan sahaja.

Berikut antara soalan-soalan daripada anggota parlimen pembangkang yang ditolak:

Anggota parlimen Segambut (DAP) Lim Lip Eng meminta perdana menteri menyatakan siapakah 'Malaysia Official 1' (MO1), isteri MO1 dan identiti pengadu dalam saman sivil berhubung 1MDB yang difailkan di Amerika Syarikat oleh Jabatan Keadilan (DOJ). Adakah tindakan mahkamah DOJ ini mempunyai agenda jahat mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Jawapan yang diperolehi Lim ialah berdasarkan Peraturan Mesyuarat 23 (1)(c) dan 23 (1)(g) iaitu sesuatu pertanyaan tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakiti hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara remeh.

Gooi pula meminta Menteri Pertahanan menyatakan sama ada tuduhan terbaru Sarawak Report bahawa perdana menteri telah membayar RM7 juta kepada ketua pengarah perisikan pertahanan BSPP pada 8 April 2013 adalah benar atau palsu, jika palsu, apakah tindakan yang akan diambil oleh menteri untuk melindungi integriti dan profesionalisme pasukan keselamatan daripada dicemarkan.

Jawapan yang diberi Speaker kepada Gooi ialah berdasarkan Peraturan Mesyuarat 23 (1)(c).

Lihat Komen
ADS