Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda BERSATU berterima kasih kepada Umno
Diterbitkan:  Jul 25, 2017 9:17 AM
Dikemaskini: 4:07 AM

Pemuda BERSATU (ARMADA) mengucap terima kasih kepada Pemuda Umno kerana turut sama menyertai usahanya untuk menyelesaikan masalah pelajar yang disenarai hitam kerana tidak membayar pinjaman pendidikan walaupun masih belajar.

Ini selepas pemimpin Pemuda Umno, Datuk Fathul Bari Mat Jahaya mengucapkan terima kasih kepada Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana mengambil berat kebimbangan dan cadangan mereka mengenai perkara itu.

"Kami tidak kisahlah siapa yang selesaikan isu ini, mahupun mendapat kredit asalkan perkara ini selesai," kata Ketua Biro Mahasiswa dan Pendidikan ARMADA, Abdul Hannan Khairy dalam mesej teks kepada Malaysiakini.

"Insya-Allah, dalam masa terdekat saya akan berjumpa dengan Ustaz Fathul Bari bagi sama-sama mencari jalan penyelesaian isu ini.

"Saya dan anak muda yang lain menanti penyelesaian daripada PTPTN sepertimana yang dikhabarkan," katanya.

ARMADA dalam satu sidang akhbar awal bulan ini membangkitkan keprihatinannya terhadap pelajar peringkat sarjana dan pasca-siswazah yang dilarang ke luar negara kerana mereka tidak membayar pinjaman yang diambil ketika belajar di peringkat diploma atau ijazah.

Katanya, ianya tidak adil kerana mereka masih belum menyertai tenaga kerja dan terus melanjutkan pengajian mereka di peringkat ijazah atau pasca siswazah.

Hannan berkata ARMADA tidak pernah dan tidak akan mempolitikkan isu itu kerana ia adalah isu anak muda yang wajar diangkat dan dilihat oleh semua pihak.

"Ketahuilah semua, kami di ARMADA tidak mempunyai akses kepada PTPTN.

"Kami ini hanya dilihat sebagai pembangkang. Ditolak di sana dan sini yang akhirnya membuatkan isu ini tidak dapat diselesaikan," katanya.

Ketua ARMADA, Syed Saddiq Abdul Rahman sebelum ini berkata beliau telah menghubungi PTPTN untuk memahami isu tersebut dan hanya membawa perkara itu kepada media setelah tidak ada penyelesaian.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS