Keadaan di 13 kawasan yang teruk dilanda jerebu semakin baik petang ini dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi Pelabuhan Kelang dan Kuala Selangor kini masing-masing pada paras 182 dan 228.

Semalam bacaan IPU di Pelabuhan Kelang mencecah tahap tertinggi 529 dan 531 di Kuala Selangor sehingga kedua-dua kawasan tersebut diisytiharkan darurat jerebu.

Bacaan IPU di 10 kawasan lagi telah turun, iaitu Gombak (325 kepada 222 sangat tidak sihat), Petaling Jaya (363 kepada 240 sangat tidak sihat), Country Height Kajang (259 kepada 176 tidak sihat), Kuala Lumpur (365 kepada 276 sangat tidak sihat), Nilai (186 kepada 163 tidak sihat) dan Seremban (147 kepada 135 tidak sihat).

Manakala keadaan jerebu di Tanjung Malim tidak banyak berubah dan kekal pada 128 manakala di Jerantut, Pahang pula, bacaan IPUnya meningkat dari 116 kepada 124.

Bacaan di Shah Alam juga turun dari 412 kepada 226 (sangat tidak sihat), Putrajaya (351 kepada 220 sangat tidak sihat) dan Bukit Rambai, Melaka (106 kepada 103 tidak sihat).

Jerebu di Pulau Pinang, K'tan, Pahang

Sementara itu, di Pulau Pinang, Bernama melaporkan jerebu yang melanda Lembah Kelang kini mula dirasai di negeri berkenaan apabila jarak penglihatan yang dicatatkan di Bayan Lepas dan Butterworth didapati berkurang.

Jurucakap Jabatan Kaji Cuaca Pulau Pinang berkata jarak penglihatan yang dicatatkan di Bayan Lepas dan Butterworth sehingga pukul 4.30 petang ialah antara lima dan tujuh kilometer berbanding sembilan kilometer pada pagi ini.

Jarak penglihatan normal ialah melebihi 10 kilometer. Keadaan berubah dengan ketara pada kira-kira jam 2.20 petang dengan jarak penglihatan sejauh tiga kilometer.

Menurutnya, jarak penglihatan yang kurang itu dijangka berterusan dalam tempoh dua hari lagi berikutan angin yang bertiup ke barat dari Sumatera bertukar arah ke Selatan dan Barat Daya membawa jerebu ke kawasan utara tanahair.

Katanya, pertukaran arah angin itu kemungkinan akan mengurangkan jerebu di Lembah Kelang.

Jerebu kini turut melanda negeri Kelantan dengan paras IPU yang dicatat pagi tadi melebihi 100, iaitu di paras tidak sihat.

Peningkatan mendadak indeks IPU di Pengkalan Chepa dan Maktab Sultan Ismail di Kota Bharu, dipercayai berpunca daripada tolakan angin dari Tenggara yang menuju ke Utara, menyebabkan jerebu yang melanda Selangor dibawa angin ke negeri ini.

Nasihat pemangku sultan

Pegawai Kawalan Alam Sekitar Jabatan Alam Sekitar Kelantan Rohimi Harun berkata paras yang dicatat di dua lokasi berkenaan semalam ialah masing-masing 52 dan 59.

Manakala di Bera, Pahang, beberapa kawasan di negeri itu, seperti bandar Kuantan dan Jerantut menyaksikan peningkatan dalam bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Menurut jurucakap Jabatan Alam Sekitar Pahang, paras yang dicatat di Jerantut pada 11 pagi ialah 116, iaitu paras tidak sihat.

"Manakala bacaan di Kuantan pada jam 11 pagi ialah 80, kita percaya jerebu berpunca daripada tolakan angin menyebabkan jerebu yang melanda Selangor dibawa angin ke negeri ini selain beberapa kejadian kebakaran hutan yang dilaporkan berlaku di Muadzam Shah yang turut menyumbang kepada jerebu," kata jurucakap itu.

Sementara itu pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengarahkan semua masjid di negeri ini supaya mengadakan sembahyang hajat setiap kali selepas solat Maghrib memohon kepada Allah agar memulihkan semula jerebu yang melanda negara kini.

"Jerebu yang melanda negara dan negeri ini amat membimbangkan dan berharap orang ramai menghentikan sebarang kegiatan luar rumah atau kegiatan yang boleh memburukkan lagi masalah jerebu seperti pembakaran terbuka dan sebagainya," titah baginda ketika merasmikan Masjid Darul Fikri, sempena lawatan rasmi baginda ke daerah Bera hari ini. Turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pendapatan nelayan terjejas

Sementara itu, di Port Dickson, Bernama melaporkan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Semenanjung sejak seminggu lalu menjejaskan pendapatan harian 315 nelayan pantai daerah ini kerana 95 peratus daripada mereka tidak dapat ke laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson Abu Bakar Che Mat berkata nelayan di kawasan berkenaan ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana selain dibebani kenaikan harga diesel mereka turut diganggu oleh fenomena jerebu yang membataskan jarak ketampakan serta mengancam kesihatan.

Menurutnya, sebelum jerebu melanda kawasan ini, sebilangan besar nelayan di sini tetap turun ke laut walaupun pulangan mereka perolehi tidak seberapa kerana kos operasi yang tinggi akibat kenaikan harga diesel.

Bagaimanapun, masalah jerebu seolah-olah terus menutup mata pencariannya dengan kadar ketampakan di daerah ini sekarang hanya kira-kira 200 hingga 250 meter dan ini menyukarkan nelayan-nelayan pantai untuk meredah lautan, katanya di Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau menerima nasihat Jabatan Laut untuk menghadapi situasi itu dengan berhati-hati kerana nelayan pantai juga tidak mempunyai alat mengesan ikan seperti sonar dan sistem pengesan global untuk menangkap ikan.

Abu Bakar yang turut meninjau kawasan Kuala Sepang yang terletak bersebelahan pantai Port Dickson berkata tindakan tidak turun ke laut itu sudah tentu menyebabkan bekalan ikan tempatan berkurangan menyebabkan pasar di Negeri Sembilan terpaksa bergantung kepada ikan import atau sangkar.

Sehubungan itu, kebanyakan nelayan di sini kini bergantung hidup kepada sedikit sebanyak wang simpanan serta wang pampasan yang mereka terima daripada sebuah syarikat pembina loji janakuasa berasaskan arang batu, Jimah Energy Ventures (JEV) Jun lepas.

Syarikat itu memperuntukkan sebanyak RM3.26 juta sebagai pampasan kepada 195 orang nelayan di sekitar Port Dickson dan 109 orang di sekitar Sepang, Selangor kerana pembinaan loji berkenaan telah menjejaskan pendapatan mereka sejak tahun lalu.

Sementara itu, bahagian tengah dan selatan Selat Melaka masih diselubungi jerebu teruk hari ini menyebabkan tahap ketampakan berkurangan kepada kurang satu kilometer.

Menurut kenyataan Perkhidmatan Kajicuaca Malaysia di sini, keadaan itu dijangka berterusan sehingga pagi Isnin ini.

Keadaan itu berbahaya kepada kapal-kapal yang tidak mempunyai alat navigasi, kata jabatan itu