Jakarta janji bertindak terhadap mereka yang bakar hutan
Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertangungjawab terhadap pembakaran hutan yang menyebabkan Malaysia kini teruk dilanda masalah jerebu.
Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertangungjawab terhadap pembakaran hutan yang menyebabkan Malaysia kini teruk dilanda masalah jerebu.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menghubungi Yudhoyono semalam berhubung masalah jerebu itu serta menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk mengatasi masalah tersebut, kata jurucakap presiden, Dino Patti Jalal.
Presiden Indonesia itu memberitahu Abdullah "bahawa kerajaanya akan melakukan apa yang terdaya dan menggunakan kelengkapan yang ada untuk memadam kebakaran itu," kata Jalal kepada AFP.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukannya," katanya, memetik presiden, sambil menambah, selain petani membersihkan tanah melaku pembakaran, cuaca kemarau turut menyumbang kepada masalah jerebu tersebut.
Semalam, Malaysia telah mengisytiharkan darurat jerebu di sesetengah kawasan apabila indeks pencemaran udara (IPU) mencecah tahap sangat berbahaya akibat jerebu yang datangnya dari Sumatra.
Menteri Perhutanan Indonesia, Malam Sambat Kaban dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Datuk Adenan Satem bertemu di Medan, Sumatra semalam untuk membincangkan masalah jerebu itu.
Kedua belah pihak bersetuju untuk bekerjasama untuk menghalang perbuatan membersihkan kawasan tanah secara pembakaran dan menjalankan pembenihan hujan.
Sekolah ditutup
Masalah jerebu berlaku setiap tahun apabila petani di Sumatra mengambil kesempatan daripada musim kemarau sekarang untuk membakar hutan dan membersihkan kawasan tanah mereka.
Dengan jarak penglihatan merosot kepada 200 meter atau kurang, lapangan terbang kedua Kuala Lumpur di Subang, telah ditutup operasinya sehingga diberitahu kelak, manakala laluan di Selat Melaka yang merupakan antara laluan paling sibuk kapal dagangan dunia kini dalam keadaan berbahaya.
Beratus-ratus sekolah di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya telah diarahkan ditutup sehingga Isnin ini kerana keadaan jerebu yang semakin teruk, yang mengakibatkan meningkatnya kes-kes serangan lelah dan yang berkaitan dengan penafasan.
Para pegawai Indonesia berkata beratus-ratus renjer telah ditugaskan memadam kebakaran tetapi menghadapi masalah kerana lokasi tempat kebakaran yang terpencil dan masalah kekurangan air.
Imej satelit yang diambil Rabu lalu mengesan 993 kebakaran di Riau dan wilayah-wilayah di utara Sumatra, kata jurucakap Kementerian Perhutanan Indonesia yang bertanggungjawab menangani kebakaran hutan, Israr Albar.
Sebahagian besar kebakaran itu disebabkan oleh aktiviti membersih kawasan tanah oleh para petani dan bukannya di kawasan perhutanan, kata para pegawai kementerian tersebut.
Pada tahun 1997 dan 1998, masalah jerebu yang teruk melanda kawasan-kawasan di Asia Tenggara, termasuk Malaysia selama berbulan-bulan, dan punca utamanya adalah kebakaran hutan di Indonesia.
- AFP


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.