Kemarahan terhadap pembakaran di Indonesia memuncak di Msia
Kemarahan terhadap ketidakupayaan Indonesia untuk memadam kebakaran yang mengakibatkan Malaysia teruk dilanda jerebu semakin memuncak hari ini ketika keadaannya di ibu negara Kuala Lumpur menjadi semakin membimbangkan.
Kemarahan terhadap ketidakupayaan Indonesia untuk memadam kebakaran yang mengakibatkan Malaysia teruk dilanda jerebu semakin memuncak hari ini ketika keadaannya di ibu negara Kuala Lumpur menjadi semakin membimbangkan.
Sehubungan itu, parti pembangkang DAP membuat bantahan di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur yang turut diliputi jerebu, sambil mengedarkan penutup muka serta menuntut bayaran pampasan.
"Kerajaan Indonesia mesti tahu bahawa rakyat Malaysia sedang marah," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sambil menambah "itulah sentimen semua rakyat Malaysia".
Kira-kira 60 ahli dan penyokong DAP membawa sepanduk yang mengkritik Indonesia yang didakwa gagal menyelesaikan masalah jerebu dan turut meminta gantirugi.
Semalam, Malaysia telah mengisytiharkan keadaan darurat jerebu di Pelabuhan Kelang dan Kuala Selangor yang paling teruk dilanda jerebu yang melintasi Selat Melaka dari kepulauan Sumatra.
Indeks pencemaran udara (IPU) semalam mencecah 529 di Pelabuhan Kelang dan 531 di Kuala Selangor. Paras IPU melebih 300 adalah berbahaya dan 500 ke atas mencapai tahap darurat.
Bagaimanapun, pagi ini, keadaan jerebu di pantai barat Malaysia semakin baik, tetapi IPU di Kuala Lumpur telah meningkat daripada 321 kepada 365.
Janji akan bertindak
Presdien Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertangungjawab melakukan beratus-ratus pembakaran di Sumantra di mana para petaninya menggunakan pembakaran sebagai cara untuk membersihkan tanah mereka.
Jurucakapnya, Dino Patti Jalal berkata Susilo telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui telefon bahawa kerajaannya akan melakukan apa sahaja yang berdaya untuk memadam kebakaran tersebut.
Kerajaan Malaysia pula berkata, ia tidak akan mengambil tindakan bersifat konfrontasi dengan kerajaan Indonesia berhubung masalah jerebu itu, bagi memelihara hubungan antara kedua negara yang sebelum ini agak terjejas dengan isu sempadan maritim di Laut Sulewesi.
Di samping itu, ia juga mengakui bahawa ladang getah dan kelapa sawit milik syarikat Malaysia juga turut bertanggungjawab menyebabkan berlakunya masalah jerebu tersebut.
Semalam, Abdullah berkata, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin akan mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak terbabit untuk meminta mereka menghentikan pembakaran tersebut.
Menteri Luar Indonesia pula, Malam Sambat Kaban dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Datuk Adenan Satem telah bertemu di Medan semalam untuk membincangkan masalah tersebut.
Kedua buah negara telah bersetuju untuk bekerjasama untuk menghalang berlakunya pembakaran dan mengadakan pembenihan hujan untuk mengatasi masalah tersebut.Terjemahan/ berita asal.
- AFP

