ISA: Pemimpin siswa UM dibebaskan tanpa syarat
Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan tanpa syarat kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Ketika dihubungi di rumah ibunya di Batu Pahat, Johor petang tadi, aktivis pelajar itu berkata beliau dibebaskan di balai polis Jalan Travers, Kuala Lumpur dan terus pulang ke sana.
"(Saya) sihat," katanya kepada malaysiakini sebentar tadi, apabila ditanya keadaan dirinya sekarang.
Ramai aktivis pelajar dan badan bukan kerajaan (NGO) menghubungi malaysiakini untuk mengesahkan pembebasannya apabila membaca laporan awal tengahari tadi.
Mohamad Fuad ditahan polis di bawah seksyen 73 (1) akta itu di depan sebuah bengkel di Jalan Sentul, Kuala Lumpur jam 4.05 petang 6 Julai lalu.
Beliau ditangkap sehari selepas seorang aktivis pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin ditahan di bawah akta yang sama.
Khairul Anuar, juga dikenali sebagai Jonah, dibenarkan menerima lawatan keluarganya di ibu pejabat polis Bukit Aman pada pagi Sabtu lalu.
Ketika dihubungi pagi tadi, kakak Jonah enggan mengulas lanjut pertemuan itu.
Jonah ditangkap jam 9.30 pagi ketika sedang mengiringi enam aktivis pelajar ke balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Polis menggeledah biliknya di Bangsar, Kuala Lumpur dan merampas bahan-bahan bercetak, komputer dan video cakera padat (VCD) reformasi.

