Kabinet cuba lindungi Rafidah dalam isu AP: Mahfuz
PAS mendakwa kabinet cuba melindungi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Rafidah Aziz walaupun beliau tidak bercakap benar berhubung isu pengeluaran permit impot (AP).
PAS mendakwa kabinet cuba melindungi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Rafidah Aziz walaupun beliau tidak bercakap benar berhubung isu pengeluaran permit impot (AP).
Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat, Mahfuz Omar mendakwa, keputusan kabinet melarang Rafidah memberi kenyataan media berkaitan isu AP dan industri automatif negara bertujuan untuk menyembunyikan maklumat sebenar daripada pengetahuan rakyat.
Katanya, PAS menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan kepada rakyat mengenai penjelasan Rafidah berkaitan isu AP yang dibuatnya kepada kabinet Rabu lalu.
"Adalah wajar penjelasan Rafidah kepada kabinet diketahui rakyat kerana ia bukannya isu peribadi antara Rafidah dan Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukan hak eksklusif kabinet, tetapi isu nasional yang membabitkan masa depan industri automatif negara," katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Mahfuz bagaimanapun PAS menyokong keputusan kabinet untuk menyemak semula dasar pemberian AP tetapi menyesali keputusan kabinet melarang Rafidah memberi kenyataan media.
Mahfuz berkata, kabinet hendaklah menjelaskan kepada rakyat apakah penjelasan dan jawapan yang telah diberikan oleh Rafidah terhadap segala tuduhan dan dakwaan yang dibuat oleh Dr Mahathir terhadap Rafidah.
Menurutnya, penjelasan ini sangat penting kerana Rafidah telah dilihat sewenang-wenangnya menyalahgunakan kuasa untuk memberikan AP kepada beberapa orang yang dianggap sebagai Raja AP walaupun tidak memenuhi syarat.
'Satu pengkhianatan'
Katanya, penjelasan juga perlu diberikan kepada rakyat bagaimana Rafidah dan kerajaan boleh mengisytiharkan Naza sebagai kereta nasional sedangkan tidak ada satu komponen yang dibuat di negara ini.
"Ini adalah satu pengkhianatan kepada negara khususnya industri kereta nasional (Proton)," katanya.
Beliau berkata, antara syarat untuk AP ialah seseorang atau syarikat mendapat perlantikan sebagai syarikat francais daripada pengeluaran kenderaan yang akan dibawa masuk dan memiliki bilik pameran, pusat servis dan alat gantian.
Katanya, ternyata sebahagian besar mereka tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh MITI itu.
Beliau berkata, ini bermakna syarikat terbabit bukanlah syarikat yang menjalankan urusan perniagaan mengimport kereta tetapi meraih keuntungan besar melalui penjualan AP.
PAS, kata Mahfuz juga menuntut Abdullah memberi penjelasan bagaimana beliau boleh berpuas hati dengan penjelas Rafidah dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini tetapi mengaku banyak kelemahan dalam mesyuarat kabinet lalu.
Menurutnya, PAS menuntut kerajaan menyiasat Rafidah serta proses bagaimana pengeluaran AP kepada mereka yang tidak memenuhi syarat.
Katanya, Badan Pencegah Rasuah (BPR) hendaklah dibabitkan dan diberi kuasa sepenuhnya untuk melaksanakan proses siasatan dan membuat pendakwaan terhadap mereka yang terlibat.

