Malaysia-Indonesia adakan perbincangan lanjut mengenai jerebu
Indonesia akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Malaysia dalam minggu akan datang megenai beratus-ratus kebakaran hutan yang mengakibatkan Malaysia teruk dilanda jerebu, kata Menteri Luar republik itu, Malam Sambat Kaban.
Indonesia akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Malaysia dalam minggu akan datang megenai beratus-ratus kebakaran hutan yang mengakibatkan Malaysia teruk dilanda jerebu, kata Menteri Luar republik itu, Malam Sambat Kaban.
Jerebu akibat lebih 1,000 kebakaran hutan dan pembakaran pembersihan kawasan ladang di kepulauan Sumatra telah membawa asap tebal yang menyelubungi Malaysia sejak minggu lalu.
Mesyuarat antara Kaban dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Datuk Adenan Satem akan diadakan Khamis atau Jumaat ini, ekoran daripada perbincangan mereka Khamis lalu di Medan, Sumatra.
Kaban berkata, mereka akan membincangkan 'langkah-langkah selanjutnya' yang diperlukan untuk memberhentikan pembakaran untuk membersihkan kawasan ladang dan kebakaran hutan di Sumatra dan Kalimantan wilayah Indonesia di kepulauan Borneo.
"Kami sedang bekerjasama dengan Malaysia untuk menangani masalah ini dan bagi meminimakan keadaan jerebu, Indonesia bersia untuk menjalankan pembenihan awan bagi menurunkan hujan," kata Kaban kepada AFP.
Minggu lalu, darurat jerebu diisytiharkan di dua daerah di Malaysia, termasuk pelabuhan utama Malaysia, Pelabuhan Kelang sehingga operasinya terpaksa dihentikan sementara dan di Kuala Selangor apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi tahap amat berbahaya kepada kesihatan.
Bagaimanapun, pengisytiharan darurat itu ditarik balik Sabtu lalu selepas keadaan jerebu di Pelabuhan Kelang dan ibu negara Kuala Lumpur beransur pulih, tetapi peralihan tiupan angin telah membawa jerebu ke Utara meliputi pulau peranginan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Pembenihan awan
Indonesia terpaksa menggunakan sekurang-kurangnya tiga pesawat tentera Hercules untuk melakukan pembenihan awan dalam usahanya untuk memadamkan 1,200 kebakaran di wilayah Riau, Sumatra Utara dan Kalimantan Barat.
"Kami akan bertumpu ke wilayah Kalimatan Barat di mana sebahagian besar kebakaran itu berlaku, tetapi kami juga akan memberi tumpuan kepada wilayah Riau dan Sumatra Utara," katanya.
Sementara itu, seorang pegawai kajicuaca memberitahu AFP, jerebu telah menutupi Medan, bandar utama di wilayah Sumatra Utara Ahad lalu, menyebabkan penduduk mengalami masalah sakit mata dan penglihatan terhad di sekitar lapangan terbangnya.
Setakat ini, satu penerbangan telah tergendala, tetapi penerbangan lain pada malam sebelumnya mungkin turut dibatalkan sekiranya jarak penglihatan semakin teruk, kata pegawal menara kawalan di lapangan terbang Polonia Medan, Berto.
Para pegawai Indonesia berkata, beratus-ratus anggota renjer ditugaskan untuk memadam kebakaran tetapi mereka menghadapi masalah kerana kedudukannya di kawasan terpencil dan kekurangan bekalan air.
Pegawai Jabatan Kajicuaca telah berkata, keadaan jerebu ini mungkin berlanjutan sehingga bulan Oktober depan apabila angin mooson baratdaya yang bertiup dari Sumatra akan beralih haluan.
Pada tahun 1997 dan 1998, jerebu yang tebal akibat pembakaran hutan di Indonesia telah menutupi sebahagian besar negara di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia, berbulan-bulan lamanya.
- AFP

