Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini melahirkan rasa terujaannya apabila dapat bersama puluhan ribu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Najib yang ditemani isteri, Rosmah Mansor turut melahirkan rasa kagum apabila dapat bersalaman dengan para veteran ATM yang dianggap sebagai masih kuat.

"Saya rasa terharu dan teruja apabila setibanya saya sebentar tadi bersama-sama dengan isteri saya, bila bersalaman dengan veteran, ada kelainannya. Ada kelainan bila bersalaman dengan orang lain.

"Saya rasa hebatnya bila bersalaman (dengan veteran), genggaman para veteran, cengkaman tangan mereka itu masih kuat.

"Saya tak pasti lutut masih kuat atau tidak tapi cengkaman masih kuat. Inilah kelainan semangat yang menyemarakkan lagi suasana hari ini untuk kita anggap ini sebagai sebuah himpunan yang sangat berjaya, meriah," kata Najib sambil menerima tepukan gemuruh dari hadirin.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Veteran ATM 2017 di Seri Kembangan.

Turut hadir pada perhimpunan itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selain itu, ketika berucap, Najib turut menganggap perhimpunan veteran pada hari ini juga sebagai lambang sokongan veteran ATM terhadap kerajaan.

"Dan (himpunan ini) melambangkan apa? Melambangkan para veteran ATM sebahagian besarnya merupakan penyokong tegar kerajaan yang ada pada hari ini.

“Betul tuan-tuan?" soal Najib yang kemudian mendapat sorakan "Betul!" dari hadirin.

Kemudian, Najib turut bertanya sama ada terdapat golongan veteran yang melawan 'tauke'.

Bagaimanapun ia disambut dengan jawapan "Tak!" oleh veteran ATM.

Pada perhimpunan itu juga, perdana menteri turut mengumumkan sumbangan RM5 juta kepada Tabung Pahlawan.

Najib turut mengumumkan lima insentif yang akan diperoleh veteran ATM tidak berpencen sempena Hari Pahlawan pada hari ini.

Antara lima insentif itu ialah Bantuan Bakti Negara (BBN) yang merupakan bantuan tahunan kepada veteran ATM tidak berpencen yang berpendapatan rendah sebanyak RM1,200 serta penambahan kuota ibadah haji sebanyak 400 orang berbanding sebelum ini hanya 100 orang.

Ketika Najib membacakan insentif berkenaan, kedengaran beberapa laungan daripada veteran yang mahukan kerajaan menaikkan wang pencen.

Bagaimanapun, perkara itu tidak diumumkan.

Hisham: Bukan gula-gula PRU

Sementara itu, pada sidang media, Hishammuddin menafikan bahawa insentif yang diumumkan hari ini sebagai gula-gula pilihan raya.

Sebaliknya, beliau memberitahu, pengumuman insentif berkenaan merupakan program bantuan yang sering dilakukan kerajaan

"Tuduhan seperti itu bukan benda baru menjelang pilihan raya. Tapi kita boleh buktikan dengan usaha kita membantu veteran sejak dari dulu.

"Ia akan berterusan. Dalam ekonomi tak menentu ini, ada keutamaan lain yang perlu diberi perhatian. Dalam keadaan itu pun, kita boleh umum insentif seperti hari ini," kata Hishammuddin.

Lihat Komen
ADS