WSF: M'sia mula kempen dengan raih dua kemenangan
SUKAN Malaysia memulakan kempen dalam Kejohanan Beregu Dunia WSF di Manchester, England, dengan meraih dua kemenangan pada hari Selasa.
Malaysia meraih kemenangan pertama melalui acara beregu campuran Kumpulan B Muhammad Syafiq Kamal-Rachel Arnold mengalahkan pilihan ketujuh Delierre-Cornett dari Kanada dengan 11-9, 2-11 dan 11-7 dalam 39 minit.
Mereka akan meneruskan saingan peringkat kumpulan dengan bertemu gandingan Saurav Ghosal-Dipika Pallikal dari India dan diikuti dengan bertemu Peter Creed-Tesni Evan dari Wales, pada Rabu.
Meneruskan rentak kecemerlangan, Rachel kemudiannya bergandingan dengan Datuk Nicol Ann David untuk meraih kemenangan dalam beregu wanita Kumpulan C dengan mengalahkan pilihan keenam kejohanan, Rachael Grinham-Donna Urquhart dari Australia dengan 11-10, 9-11 dan 11-8 dalam tempoh 38 minit.
Seterusnya Rachel-Nicol akan bertemu satu lagi gandingan Australia, Sarah Cardwell-Christine Nunn.
Namun nasib tidak menyebelahi dua pasangan beregu lelaki negara apabila tewas kepada pesaing masing-masing.
Dalam saingan Kumpulan A, Mohd Nafiizwan Adnan-Ivan Yuen mengalami dua kekalahan selepas tunduk kepada gandingan Dylan Bennett-Piedro Schweertman dari Belanda dalam saingan sengit selama 50 minit dengan 7-11, 11-1 dan 8-11.
Mereka kemudiannya tunduk kepada gandingan pilihan pertama kejohanan Alan Clyne-Greg Lobban dari Scotland dengan set terus 3-11, 8-11.
Sementara dalam saingan Kumpulan C pula, Muhammad Syafiq-Eain Ng Yow juga mengalami nasib yang sama apabila kalah kepada gandingan England, Tom Richards-Daryl Selby dengan 7-11, 4-11 dan diikuti kekalahan 0-2 ketika bertemu Andres Herrera-Juan Camilo Vargas dari Colombia 11-4, 6-11 dan 7-11.
- Bernama

