Harga diesel mahal: Nelayan laut dalam ancam henti operasi
Ramai pengusaha bot laut dalam mengancam mahu menghentikan operasi tangkapan ikan kerana tidak mampu menanggung harga minyak diesel yang tinggi, malah berterusan meningkat sejak kebelakangan ini.
Ramai pengusaha bot laut dalam mengancam mahu menghentikan operasi tangkapan ikan kerana tidak mampu menanggung harga minyak diesel yang tinggi, malah berterusan meningkat sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Jusoh Awang berkata pihaknya khuatir jika harga diesel terus pada tahap harga RM1.23 liter sekarang, ramai pengusaha yang akan gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos operasi.
Katanya, sudah ramai ahli Nekmat yang berjumlah kira-kira 100,000 orang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai mungkin terpaksa menghentikan operasi kerana kos yang tinggi menyebabkan industri ini tidak lagi menguntungkan.
"Jika ini berlaku, negara terpaksa menambah jumlah import ikan dan sudah tentu akan meningkatkan pengaliran wang keluar negara," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan memberi subsidi supaya harga minyak diesel dapat diturunkan kepada RM1 seliter seperti beberapa tahun lalu.
"Harga minyak diesel untuk nelayan RM1.23 seliter sekarang ini adalah terlalu tinggi dan membebankan golongan nelayan.
"Kos operasi nelayan laut dalam meningkat berkali ganda dan ia juga menyebabkan harga ikan di pasaran naik secara mendadak, terutama di Lembah Kelang dan beberapa utama bandar utama lain.
Pasar Borong Selayang
"Kos pengangkutan ikan dari jeti ke pasar bertambah mahal. Harga ikan di Lembah Kelang naik kerana kos mengangkut ikan dari Pantai Timur ke Pasar Borong Selayang yang menjadi pusat pengumpulan ikan utama di ibu negara," katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yasin bagi mendapatkan subsidi harga diesel bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat.
Katanya, Muhyiddin mengarahkan Nekmat berunding dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk mencari jalan bagaimana subsidi boleh disalur serta jumlah subsidi yang akan diberi kepada nelayan.
"Kita meminta subsidi tersebut dilaksanakan pada 1 September ini tetapi keputusan muktamad bergantung kepada LKIM," katanya.
Menurutnya, pada dasarnya kementerian tersebut telah bersetuju untuk memberi subsidi harga minyak diesel kepada nelayan tetapi keputusan muktamad belum diperolehi.
Jusoh berkata, harga semasa sekarang iaitu RM1.23 seliter terlalu tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh nelayan laut dalam yang menggunakan bahan bakar itu setiap hari.

