Bekas ustazah murtad dibebaskan dengan ikatjamin
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini membenarkan permohonan seorang bekas ustazah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir yang menghadapi dua tuduhan termasuk keluar daripada agama Islam diikat jamin bagi membolehkannya melantik peguam syarie.
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini membenarkan permohonan seorang bekas ustazah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir yang menghadapi dua tuduhan termasuk keluar daripada agama Islam diikat jamin bagi membolehkannya melantik peguam syarie.
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Muhammad Abdullah membenarkan Kamariah Ali, 54, diikat jamin RM5,000 bagi dua pertuduhan yang dihadapinya selepas mendengar permohonan peguam dari Biro Bantuan Guaman yang mewakilinya.
Bagi pertuduhan mengaku sudah keluar daripada agama Islam di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Besut Wan Abdul Malik Wan Sidek pada kira-kira 12.50 tengah hari, 21 Julai lepas, Kamariah dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Menurut laporan Bernama, Kamariah membayar ikatjamin tersebut.
Bagi pertuduhan kedua iaitu bersama-sama 44 pengikut ajaran sesat Ayah Pin melanggar perintah pihak berkuasa agama kerana berada dalam kawasan kediaman Ariffin Mohamad atau Ayah Pin di Kampung Batu 13, Mukim Tenang, Hulu Besut pada pukul 10.30 pagi, 20 Julai lepas, dia dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Bagi pertuduhan pertama dia didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya mankala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 10 enakmen yang sama yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun penjara atau
kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama Hakim Muhammad menetapkan 14 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes manakala bagi pertuduhan kedua pada 1 September.
Surat lantikan peguam
Terdahulu, peguam Faridah Yusof membacakan wakalah (surat lantikan) yang Kamariah melantiknya sebagai peguam bagi mengendalikan permohonan ikat jamin itu serta menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan hari ini.
Dalam hujahnya, Faridah memohon mahkamah membebaskan Kamariah dengan ikat jamin bagi membolehkannya mencari peguam syarie bagi mewakilinya untuk kes itu.
Selain itu, katanya, mengikut peruntukan undang-undang, tertuduh boleh diikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Bagaimanapun, Ketua Pendakwa Syarie Mustafar Hamzah membantah permohonan itu kerana menurutnya masa yang diberikan kepada tertuduh untuk mendapatkan peguam bela adalah mencukupi.
Setelah meneliti hujah pihak pendakwaan dan peguam, Hakim Muhammad meluluskan permohonan agar Kamariah dibebaskan dengan ikat jamin kerana tempoh lima hari yang ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini kepada tertuduh untuk mencari peguam adalah singkat.
Pada 10 Ogos lalu, mahkamah menangguhkan perbicaraan Kamariah ke hari ini selepas mendengar permintaan tertuduh yang ingin mendapatkan peguambela mewakilinya walaupun sebelum ini tiada peguam yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Terengganu sanggup mengambil kesnya itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.