Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid dicabar dedah dalang sindiket Wang Kelian

PARLIMEN | DAP mendesak Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan tiga dalang utama kes pemerdagangan manusia yang pernah berlaku di Wang Kelian, Perlis pada 2015.

Secara sini, Kasthuri Patto (DAP-Batu Kawan) berkata jika Ahmad Zahid boleh dan berani mendedahkan butiran peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad, sudah tentu tidak ada masalah untuk kementeriannya mendedahkan mengenai tiga suspek utama itu.

“Memandangkan Zahid kini tidak terkilan mendedahkan maklumat peribadi mantan perdana menteri atas platform politik, apakah beliau berani mendedahkan nama tiga suspek utama sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian dua tahun lepas?” katanya.

Kasthuri berkata demikian semasa sidang media bersama Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh di parlimen hari ini.

Zahid pada 1 Jun lalu berkata Kerajaan Malaysia akan memohon perintah ekstradisi untuk membawa pulang tiga suspek utama kes pemerdagangan manusia yang berlaku di Wang Kelian, Perlis pada 2015 bagi dibicarakan di negara ini.

Zahid turut berkata ketiga-tiga suspek itu merupakan dalang utama dalam kes berkenaan dan bukannya suspek "ikan bilis" seperti yang didakwa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata maklumat risikan yang diterima mereka adalah suspek "ikan jerung" dan kini ditahan di penjara Thailand.

Insiden Wang Klian didedahkan kepada umum pada Mei 2015 apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan lebih 130 kubur di 28 buah kem sementara di Wang Kelian.

Kasthuri berkata Ahmad Zahid tidak seharusnya menyindir seseorang yang mempunyai latar belakang dengan India tetapi berdiam diri mengenai nama tiga suspek utama dalam kes sindiket penyeludupan manusia berkenaan.

“Sudah masuk dua bulan selepas kenyataan Zahid mengekstradisi tiga suspek ini namun tiada apa-apa perkembangan selanjutnya selepas pengumuman itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS