Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah meminta semua petani menghentikan pembakaran terbuka, terutamanya jerami sekalipun kualiti udara di negeri ini menunjukkan tahap sederhana hari ini.

Pengarah JAS Kedah Mohamed Ishak Thani berkata Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicerap pada jam 11 pagi tadi menunjukkan bacaan 71 di Langkawi, 92 (Alor Star) dan 77 (Sungai Petani).

Walaupun bacaan di atas menunjukkan keadaan kualiti udara sederhana, semua pihak wajar menghentikan pembakaran terbuka untuk tidak memburukkan lagi keadaan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tinjauan pasukan rondaan JAS hari ini mendapati sebahagian besar petani mematuhi arahan yang dibuat Pemangku Menteri Besar Datuk Mahdzir Khalid Sabtu lalu supaya menghentikan pembakaran jerami pada waktu ini.

Bagaimanapun, terdapat segelintir petani yang masih menjalankan aktiviti itu di kawasan Alor Mengkudu, Alor Ganu dan Tanjung Musang di daerah Kota Star dan Bukit Raya di Pendang, katanya.

Mohamed Thani berkata JAS telah menghubungi pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda dan Pertubuhan Peladang Kawasan bagi memaklumkan kepada petani supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

Bacaan IPU hari ini mencatatkan penurunan berbanding semalam dengan Alor Star merekodkan paras 132 ketika dicerap pada pukul 11 pagi berbanding 112 pada 5 petang semalam manakala Sungai Petani (131 dan 103) dan Langkawi (111 dan 79). Jerebu mula melanda negeri ini Sabtu lalu.

Jerebu berkurangan

Jerebu yang menyelubungi ruang udara Perlis juga kian berkurangan dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan paras 83 pada pukul 11 pagi ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis Aminuddin Ishak memberitahu Bernama IPU yang dicatatkan itu kembali sederhana berbanding tidak sihat semalam.

Semalam IPU yang dicatatkan di Perlis ialah 132 pada pukul 11 pagi dan berkurangan kepada 106 pada pukul 5 petang.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat kegiatan pembakaran terbuka secara kecil-kecialan di kawasan sawah hari ini meskipun JAS menasihati orang ramai menghentikan kegiatan itu.

Jerebu di Pulau Pinang semakin berkurangan hari ini dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) mencatatkan penurunan berbanding petang semalam.

Jarak penglihatan

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Alam Sekitar Negeri berkata, pada jam 9 pagi tadi, bacaan di Universiti Sains Malaysia ialah 52, di Perai 83 dan Seberang Jaya 80, berbanding masing-masingnya 91, 133 dan 99 petang semalam.

"Tahap kualiti udara juga meningkat daripada kategori tidak sihat kepada sederhana di semua kawasan berkenaan," katanya.

Jurucakap itu berkata, jarak penglihatan bertambah baik, umpamanya di Bayan Lepas di mana jaraknya sejauh lapan kilometer berbanding enam kilometer semalam.

Tinjauan Bernama di beberapa tempat mendapati aktiviti membawa pelancong mengelilingi bandar Georgetown dengan beca berjalan seperti biasa.