Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas ahli majlis fail saman terhadap MBPP
Diterbitkan:  Aug 4, 2017 6:19 AM
Dikemaskini: 10:27 PM

Bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Noor Syazwani Md Amin memfailkan saman terhadap MBPP dan tiga yang lain di Mahkamah Tinggi di George Town semalam bagi menuntut ganti rugi berhubung pemecatannya.

Noor Syazwani memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di George Town menerusi Tetuan Aswandi Hashim & Co dan turut menamakan Datuk Bandar MBPP Datuk Maimunah Mohd Sharif, Setiausaha Bandaraya MBPP Yew Tung Seang dan Setiausaha Kerajaan negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus sebagai defendan.

Peguamnya Datuk Aswandi Mohamed Hashim berkata dalam writ saman itu, Noor Syazwani mengemukakan enam tuntutan supaya kesemua defendan membayar baki elaun bulanan yang berhak diterima plaintif berjumlah RM32,000.

Katanya anak guamnya juga menuntut ganti rugi kesusahan berjumlah RM50,000 akibat kepayahan yang dialaminya selepas lantikannya sebagai ahli majlis dibatalkan tanpa sebab pada 19 April sekali gus mengakibatkan nama baik anak guamnya terjejas.

Noor Syazwani dilantik sebagai ahli majlis pada 4 Januari atas kuota wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kontrak sepatutnya tamat pada 31 Disember depan.

Sementara itu, Aswandi berkata tujuan saman itu dibuat adalah untuk memberi keadilan kepada anak guamnya dan tidak mahu perkara sama berulang kepada ahli majlis yang lain.

"Tujuan kita fail (saman) ini supaya perkara sama tidak berulang pada masa depan dan supaya ada satu keadaan di mana undang-undang dapat melindungi ahli-ahli majlis yang dilantik selepas ini," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS