Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang pegawai dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dituduh salah guna kuasa membabitkan wang tunai RM10,000 di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Hairul Nizan Mhd Idris, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh didakwa menggunakan jawatannya dengan mengemukakan permohonan dan syor bagi pembekalan oleh syarikat Prisma Jaya Kini Resources bagi Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Daerah Hulu Langat, yang mana abangnya mempunyai kepentingan sebagai pemilik syarikat.

Pendakwah kontrak di JAIS itu didakwa bawah Seksyen 23(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 1 Februari 2016 di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Tertuduh diwakili peguam bela Hamidi Mohd Noh.

Mahkamah juga mengekalkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Hairul Nizan.

Sebutan kes ditetapkan pada 4 September depan.

Lihat Komen
ADS