Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

ULASAN l Dalam posting facebook beliau pada 25 Julai lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanya, "Mana Pelan Pemulihan Felda?" Persoalannya apakah Felda memerlukan pelan pemulihan?

Muhyiddin ternyata tidak senang dengan enam insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sempena Hari Peneroka 2017 pada 23 Julai yang lalu.

Saya akan menjawab komen Muhyiddin itu secara berfakta esok. Sebagai mukaddimah ternyata Muhyiddin semasa menjadi timbalan perdana menteri tidak begitu berminat dengan Felda.

Dia tidak mendalami dan menjiwai isu Felda. Felda tidak dekat dihatinya kerana Felda adalah "Legasi Tun Razak" iaitu ayahanda kepada Najib.

Sebab itu dalam posting tersebut, Muhyiddin banyak menggunakan perkataan "berkemungkinan". Dia terlalu banyak membuat andaian bukan fakta. Itu mendedahkan semasa dalam kerajaan dan berjawatan TPM dia tidak berminat dengan Felda.

Samalah juga semasa dia menjadi menteri pelajaran. Dia tidak pernah masuk melawat sekolah pedalaman. Dia hanya pernah sekali singgah di SK Ulu Lubai itu pun menggunakan helikopter.

Justeru, dia tidak menguasai isu sekolah pedalaman. Dia terkejut bila saya (sebagai timbalan menteri) tunjukkan gambar saya berjalan kaki lapan jam meredah hutan dan gunung untuk melawat SK Saliliran di Nabawan Sabah.

Saya mempersoalkan keputusan kementerian melantik YTL melaksanakan 1Bestarinet untuk sekolah pedalaman. Terbukti kini 1Bestarinet adalah gagal kerana YTL bukan pemain utama bidang tekekomunikasi.

Sebab itu Muhyiddin sebagai menteri pelajaran tidak mengetahui sama sekali dasar KPM iaitu semua genset bekalan elektrik di sekolah pedalaman mesti dimatikan sebelum jam 9 malam untuk tujuan penjimatan.

Sebab itu murid yang tinggal di asrama desa tidak boleh mengulang kaji pelajaran atau mengikuti kelas tuisyen kerana bekalan elektrik sudah dimatikan. Dia hanya tahu setelah saya memaklumkan perkara ini kepada beliau sebelum dasar itu diubah.

Begitu juga Tun Dr Mahathir Mohamad. Dia juga kurang memberikan perhatian kepada Felda semasa 22 tahun menjadi diktator. Felda bukan legasi beliau. Bahkan Mahathir hampir menswastakan Felda jika tidak dibantah oleh Tan Sri Alias Ali.

Dasar Mahathir adalah Crony Capitalism iaitu mengkayakan seorang dua Melayu kononnya untuk membantu Melayu yang lain.

Ini amat berbeza dengan dasar Tun Abdul Razak Hussein dan Najib.

Mereka mahu mengeluarkan orang Melayu daripada garis kemiskinan hidup. Felda satu daripada strateginya. Sebab itu Najib terus menjadi pembela kuat Felda.

Berbeza dengan Mahathir dan Muhyiddin. Mereka tidak berjiwa Felda kerana Felda bukan legasi mereka.

Yang mereka tahu ialah mengkritik Felda walaupun tahu enam insensif Felda itu memberikan manfaat besar kepada peneroka Felda.


DATUK MOHD PUAD ZARKASHI adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS