Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 27 lelaki dan dua wanita dalam operasi khas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen, sekali gus melumpuhkan empat kumpulan berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemua mereka ditahan di sekitar Lembah Klang dalam operasi sejak Rabu dan melibatkan sembila pegawai serta 30 anggota.
Beliau berkata kesemua mereka direman dan disiasat mengikut Seksyen 5(2), Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
"Dalam operasi ini, polis berjaya merampas pelbagai kad ATM (Mesin Juruwang Automatik), kenderaan, wang tunai, telefon dan komputer, " katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan syabas kepada pasukan berkenaan dalam laman Twitter rasminya.
"Syabas lagi JSJK Bukit Aman @PDRMsia tangkap 29 orang, lumpuhkan empat kumpulan Along di sekitar Lembah Klang. Selesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes. #GoPDRMGo," katanya.
- Bernama
