Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'The power of hands' SK Long Sepiling tewaskan 18 negara lain
Diterbitkan:  Aug 5, 2017 9:42 AM
Dikemaskini: 2:11 AM

Video 'The Power of Hands' hasil nukilan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sepiling, Baram menang Anugerah Bercerita Terbaik di Kid Witness News (KWN) Sidang Kemuncak Global 2017 di Tokyo, Jepun semalam.

Video dalam Bahasa Kayan dan Iban berdurasi 4 minit 54 saat itu mengisahkan mengapa manusia perlu menghargai tangan, pemberian tuhan yang tiada nilainya menewaskan pencalonan dari 18 negara lain.

Ketika dihubungi Bernama guru matematik SK Long Sepiling, Muhammad Saffuan Jaffar berkata video itu adalah idea empat murid iaitu Anilov Fabien Tingang,13, Juwita Ulean, 12, Fiona Fredick, 12, dan Michael Nyamun, 11, dengan dibantu oleh guru sekolah tersebut.

"Perasaan saya gembira, terharu dan bangga kerana kami (guru) di pedalaman berjaya buktikan murid di pedalaman juga ada potensi untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi setaraf dengan pelajar di bandar, malah mereka juga mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

"Menerusi komentar juri, pasukan turut memperoleh idea baharu untuk menghasilkan video pada masa depan, juri mahu video yang dihasilkan perlu mempunyai mesej jelas, global dan melalui luahan kanak-kanak," katanya yang turut sama ke Tokyo bersama guru Sains dan Bahasa Melayu Fadhli Ab Salam.

SK Long Sepiling yang mempunyai sembilan murid dan 11 guru (termasuk guru besar) terletak di Daerah Kecil Baram, perjalanan ke sekolah tersebut perlu menggunakan bot ekpress selama tiga jam dari Marudi.

Pada majlis penganugerahan itu, Michael mewakili tiga lagi rakannya untuk menerima trofi dan sijil penyertaan yang disampaikan Duane Paul Kale of International Paralympic Committee Governing Board.

Mengulas mengenai video tersebut Muhammad Saffuan berkata pembikinan video bermula pertengahan Ogos 2016 selepas murid-murid tersebut pulang daripada KWN Training di Nilai, Negeri Sembilan, seterusnya menyaksikan mereka memenangi pertandingan peringkat kebangsaan pada November 2016.

"Tempoh menyiapkan video dilakukan dalam masa sebulan dan ketika penggambaran dibuat turut dibantu oleh guru-guru serta kakitangan sekolah dan penduduk kampung," katanya.

Dianjurkan oleh Panasonic Corporation, KWN merupakan program pendidikan yang direka untuk membantu produksi video bagi pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh dunia dengan berkonsepkan ‘Dunia Menerusi Mata Mereka’.

- Bernama

Lihat Komen
ADS