Syarikat Malaysia yang memiliki ladang di Indonesia dituduh paling banyak melakukan kebakaran yang mengakibatkan jerebu yang teruk melanda Malaysia minggu lalu

Para pegawai Indonesia berkata asap akibat beratus-ratus kebakaran di Sumatra telah memaksa Malaysia mengisytiharkan darurat di dua buah daerah di Selangor. Bagaimanapun darurat itu ditarik balik Sabtu lalu apabila keadaan semakin pulih.

Bagaimanapun pegawai kajicuaca memberi amaran bahawa peralihan tiupan angin boleh menyebabkan Semenanjung Malaysia akan ditutupi jerebu sekali lagi.

"Kita telah mengenalpasti lapan daripada sepuluh syarikat perladangan yang menjalankan kerja-kerja pembersihan tanah secara haram (melalui pembakaran) adalah dari Malaysia," kata jurucakap Kementerian Perhutanan Indonesia, Masyud kepada AFP.

Kementerian itu juga sedang menyiasat latarbelakang syarikat-syarikat berkenaan yang akan diserahkan kepada pihak polis, katanya, sambil menambah, pemiliknya menghadapi kemungkinan hukuman sehingga 15 tahun penjara jika didapati bersalah membersihkan kawasan tanah secara haram (melalui pembakaran).

Menteri Perhutanan Indonesia, Malam Sambat Kaban dijangka mengadakan perbincangan dengan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Datuk Adenan Satem Selasa ini di Jakarta, katanya.

"Salah satu perkara yang akan dibincangkan esok ialah pembabitan Malaysia dalam proses pembenihan awam, yang dirancang dilakukan pada 22 Ogos ini, untuk memulihkan jerebu wilayah Riau, North Sumatra dan Kalimantan," katanya.

Kerugian besar

Semalam, Malaysia menghantar 125 anggota untuk memadam kebakaran, yang dilengkapi dengan kenderaan serbaguna dan peralatan lain untuk memadam kebakaran. Pasukan yang sama dihantar memadam kebakaran di Indonesia pada tahun 1997-98 yang menutupi sebahagian besar wilayah di Asia Tenggara.

Isnin lalu, Australia juga mengumumkan akan menghantar pasukan bagi membantu memadam kebakaran di republik itu selepas Indonesia memohon bantuan negara tersebut.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terbabit melakukan kebakaran tersebut. Terjemahan/ berita asal.