Menteri: Lebih 2,000 sekolah rendah kurang murid
Kira-kira 2,260 atau 23 peratus daripada 10,000 sekolah rendah di negara ini mempunyai kurang daripada 150 murid, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Kira-kira 2,260 atau 23 peratus daripada 10,000 sekolah rendah di negara ini mempunyai kurang daripada 150 murid, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata masalah Sekolah Kurang Murid (SKM) dihadapi di seluruh negara terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang disebabkan oleh kepadatan penduduk yang rendah atau tidak dapat dihubungi melalui jalan darat dengan baik.
"Daripada sekitar 10,000 sekolah yang kita ada hari ini, 2,260 daripadanya merupakan SKM yang ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai kurang daripada 150 murid," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Pendidikan Luar Bandar Isu dan Cabaran Sekolah Kecil di Subang Jaya, hari ini.
Seminar tiga hari itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Ambrin Buang bersama lebih 270 jemaah nazir sekolah, pengarah pendidikan negeri, pegawai pendidikan daerah, wakil parti politik, wakil rakyat dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru dari seluruh negara.
Menurut laporan Bernama , Hishammuddin berkata tiga negeri yang mempunyai peratusan SKM yang tinggi ialah Sabah, Sarawak dan Perak.
Beliau berkata bilangan tinggi SKM di negara ini disebabkan oleh usaha kerajaan memastikan setiap pelajar mendapat peluang pendidikan tidak kira di mana mereka berada dengan menubuhkan sekolah di mana-mana sahaja.
"Di Sarawak 50 peratus sekolah merupakan SKM manakala 67 peratus daripada 1,060 sekolah di Sabah merupakan sekolah kurang murid yang sukar dihubungi oleh sistem pengangkutan awam. Malah sekitar 40 peratus daripadanya tidak mempunyai talian telefon, bekalan elektrik dan air awam," katanya.
Anak Orang Asli
Menurutnya Perak pula menyelenggara 265 sekolah SKM yang merupakan sekolah untuk anak-anak Orang Asli.
Katanya kerajaan juga telah menempatkan seramai 18,528 orang guru di sekolah-sekolah berkenaan di seluruh negara.
"Bagaimanapun ketika ini adalah sangat sukar kepada kerajaan untuk menekankan soal ekuiti dan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah berkenaan kerana disebabkan tahap infrastruktur yang jauh lebih daif berbanding sekolah di bandar," katanya.
Hishammuddin juga mendedahkan SKM juga berlaku di Wilayah Persekutuan melibatkan tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
Mengenai hala tuju SKM, Hishammuddin berharap seminar yang sedang berlangsung itu dapat mencari beberapa kaedah dan pendekatan mengenai masa depan SKM dengan mengenal pasti segi aspek fizikal atau bukan fizikal, penekanan terhadap kemahiran `pengajaran pelbagai gred' dalam latihan perguruan.
"Mungkin juga ada cadangan reka bentuk sekolah pedalaman baru yang lebih menjimatkan kos atau mungkin SKM mahu ditutup serta digantikan dengan konsep Sekolah Berpusat dan Sekolah Model Khas yang ditambah baik," katanya.
Prestasi pelajar
Beliau berkata isu SKM jika dibiarkan berterusan akan menghasilkan satu kitaran ganas dengan memberi kesan yang berganda.
"Kesannya ialah ketidakmampuan SKM mencapai tahap yang diinginkan akan menyebabkan pencapaian murid merosot. Seterusnya prestasi mereka di sekolah menengah pula akan turut terjejas." katanya.
Beliau berkata selain itu keciciran akan meningkat kerana mereka gagal mendapat keputusan yang baik sama ada dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Jurang antara bandar dan luar bandar akan lebih ketara disebabkan pada peringkat awal lagi ianya telah berlaku perbezaan antara murid SKM dan sekolah biasa," katanya.
Hishammuddin berkata usaha menangani isu dan cabaran SKM tidak boleh dilakukan oleh kementerian itu bersendirian, sebaliknya ia memerlukan bantuan dan kerjasama daripada kementerian lain terutamanya Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta kerajaan-kerajaan negeri.
"Selain itu anggota Parlimen serta wakil rakyat juga memaikan peranan penting serta perlu mempunyai kesungguhan politik untuk menerangkan kepada orang ramai sama ada mewujudkan sekolah asrama harian dan berpusat atau menutup SKM," katanya.
Hishammuddin berkata kementeriannya akan memberi tumpuan kepada agenda SKM, prasekolah dan pendidikan khas bagi tempoh tiga penggal Rancangan Malaysia (RMK) akan datang bermula RMK-9 bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

