Anggota polis bersenjata ronda stesen MRT Spura
Anggota polis bersenjata mula melakukan rondaan di sistem pengangkutan MRT Singapura dan "mungkin terpaksa" menembak mati sekiranya menjumpai pihak yang disyaki sebagai pengebom berani mati, demikian menurut laporan media tempatan.
Anggota polis bersenjata mula melakukan rondaan di sistem pengangkutan MRT Singapura dan "mungkin terpaksa" menembak mati sekiranya menjumpai pihak yang disyaki sebagai pengebom berani mati, demikian menurut laporan media tempatan.
Langkah itu merupakan respons Singapura kepada kemungkinan ancaman berikutan insiden pengeboman sistem pengangkutan di kota London 7 Julai lalu yang mengorbankan lebih 50 orang dan mencederakan ramai lagi.
Stesen televisyen Channel NewsAsia melaporkan kehadiran pegawai yang meronda secara berpasangan dapat dirasai di dalam dan sekitar stesen MRT mulai semalam dan bergantung kepada keadaan, unit khas yang lain mungkin turut digerakkan bagi menangani sesuatu keadaan.
Menurut laporan Bernama, para pegawai berkenaan, dari unit polis MRT, juga akan memeriksa beg dan barangan lain di atas tren, kata laporan itu.
Mengenai sama ada pegawai terbabit akan menembak mati semasa berhadapan dengan kemungkinan ancaman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Wong Kan Seng berkata, "Ya, mereka mungkin terpaksa".
"Kami perlu memperbaharui peraturan sedia ada mengikut keadaan. Dalam konteks hari ini, kami tidak menemui sebarang kes pengebom berani mati dan kami berharap tidak ada kes sebegitu.
"Tetapi saya tidak akan mengetepikan kemungkinan ini memandangkan pengebom berani mati merupakan teknik yang digemari oleh pengganas untuk menakut dan menggertak orang kebanyakan," kata Wong.
Dianggarkan 1.2 juta orang berulang-alik menggunakan MRT dan LRT di Singapura setiap hari.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.