Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Umno serah dokumen 'bocor' isu Unisel pada SPRM

Akar umbi Umno hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).

Laporan oleh Ketua Pemuda Umno Kelana Jaya Maisham Maarof itu dibuat susulan isu penyelesaian pertikaian antara Universiti Selangor (Unisel) dan bekas kontraktornya Jana Niaga Sdn Bhd.

Laporan itu mengambil kira kedudukan Azmin sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap MBI dan menjadi Pengerusi syarikat Pendidikan YS Sdn Bhd milik kerajaan negeri yang menguruskan Unisel.

"Melalui beberapa dokumen yang dikeluarkan oleh laman sesawang Selangor-Leaks.com kami dapati keraguan yang besar dalam penyelesaian kontrak antara Unisel dan Jana Niaga.

"Jika dokumen tersebut benar maka adalah amat meragukan apabila syarikat yang didakwa oleh Unisel telah gagal dalam melaksanakan kontrak, diberikan pampasan bernilai jutaan ringgit dan juga sebuah kontrak baru," kata Maisham kepada pemberita.

Maisham hadir bersama 20 anggota Pemuda bahagiannya ke SPRM Selangor di Shah Alam bagi membuat laporan tersebut.

Maisham tiba sekitar jam 11.45 pagi dan keluar jam 2.00 petang.

Pegawai khas kepada perdana menteri Datuk Rizal Mansor sebelum ini mencabar Azmin menjelaskan dakwaan salah laku berhubung bayaran kepada Jana Niaga.

Sedangkan, dakwa Rizal, pendahulunya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menghentikan bayaran kepada kontraktor berkenaan apabila projek yang dianugerahkan tidak memuaskan.

MBI mengancam tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan agensi itu dengan amalam rasuah.

Menurut MBI, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Disember 2012 dan Mahkamah Rayuan pada Julai 2013 memutuskan Jana Niaga dan Unisel perlu menyelesaikan pertikaian mengikut proses timbang tara seperti yang diwajibkan kontrak.

MBI turut menafikan bayaran sebanyak RM60 juta telah dibuat kepada Jana Niaga.

Bagaimanapun, Rizal tetap tidak berpuas hati dengan penjelasan berkenaan dan menggesa Azmin serta MBI mengemukakan bukti proses timbang tara berkenaan.

Sementara itu, Maisham turut menggesa Azmin tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Serah pada SPRM, kata pegawai Azmin

Sementara itu Setiausaha Politik Menteri Besar Shuhaimi Shafie berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada SPRM.

Namun, kata Shuhaimi, Pemuda Umno itu juga perlu meminta SPRM sekali lagi menyiasat kes 1MDB.

"Biarlah SPRM siasat tapi mereka juga patut minta SPRM siasat sekali lagi kes 1MDB," kata Shuhaimi kepada Malaysiakini.

1MDB sedang berdepan siasatan di beberapa buah negara di seluruh dunia. Aset-aset berkaitannya juga sedang cuba dirampas oleh Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat (AS).

Lihat Komen
ADS