Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Reka bentuk RTS: MB sokong sultan
Diterbitkan:  Aug 9, 2017 6:20 AM
Dikemaskini: Aug 9, 2017 3:41 AM

Kerajaan negeri Johor menyokong cadangan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar supaya dipertimbangkan semula reka bentuk jambatan bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Woodlands, di Singapura dengan Bukit Chagar, Johor Bahru.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya maklum mengenai keprihatinan tuanku berhubung pelaksanaan projek tersebut.

"Kita di kerajaan negeri memang sedia maklum akan pandangan tuanku itu dan kita memang menyokong dan akan memaklumkan kepada kerajaan (Persekutuan) mengenai pandangan-pandangan yang diberi (tuanku).

"Keputusan untuk melaksanakan projek ini sedang berlangsung antara kedua-dua negara dan soal jajaran serta perkara lain dibincangkan secara berterusan," katanya selepas merasmikan pejabat pengurusan perniagaan Aegis Limited di Bandar Medini semalam.

Mohamed Khaled diminta mengulas mengenai titah tuanku pada satu temu ramah eksklusif yang diterbitkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris semalam.

Sultan Ibrahim, menerusi temu ramah itu, dilaporkan menyambut baik projek RTS namun tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk landasan yang melengkung, selain jambatannya yang mungkin mencapai ketinggian 30 meter di bahagian tengahnya.

"Pembinaan jambatan pada ketinggian itu akan menjejaskan pemandangan bandar raya sepanjang Selat Johor, selain ketinggiannya tidak praktikal, dan kosnya berpotensi tinggi," tegas baginda.

Menurut laporan berkenaan, Sultan Ibrahim dijangka membincangkan perkara itu dalam perjumpaan dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bulan depan.

Projek RTS itu dijangka memberi kemudahan kepada hingga 10,000 penumpang setiap sejam antara dua stesen berkenaan.

Di Kuala Lumpur, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata projek RTS itu dan laluannya adalah berdasarkan kepada beberapa siri perbincangan dan kajian menyeluruh yang telah dilaksanakan.

Dalam kenyataannya semalam, beliau menjelaskan projek itu meliputi segi teknikal, jajaran dan juga keupayaan daya maju, yang telah dipersetujui bersama dengan kerajaan Singapura.

"Kami mengambil maklum isu-isu yang dibangkitkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor (Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar) dan akan memohon untuk menghadap baginda Tuanku sejurus selepas pihak istana memberikan tarikh persetujuan tersebut.

"Malaysia dan Singapura bakal melihat kesalinghubungan dan kebolehcapaian yang lebih baik apabila siapnya projek RTS seperti mana yang telah dicadangkan pada 2024," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS