Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil tindakan segera dalam urusan kebajikan keluarga mahasiswa Nurnasibah Husna Ibrahim, 21, yang meninggal dunia selepas bot yang dinaiki terbalik berdekatan muara Kuala Besut, Terengganu.
Kementerian itu dalam kenyataannya berkata pihaknya memandang serius insiden yang berlaku dan meminta universiti itu menghubungi keluarga mangsa untuk memberikan bantuan yang diperlukan.
"KPT merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah yang berasal dari Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh, Kelantan atas kemalangan yang berlaku,” kata kenyataan itu.
Dalam kejadian itu, Nurnasibah Husna maut manakala enam yang lain termasuk seorang kakitangan dan pemandu bot mengalami kecederaan apabila bot pelancong yang mereka naiki terbalik di laut berhampiran Pulau Rhu dekat Kuala Besut tengah hari semalam.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Nurhasibah Husna Ibrahim, 21, berasal dari Kampung Alor Pasir, Jalan Kota Bahru, Pasir Putih, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superitenden Mohd Zamri Mohd Rowi berkata mangsa yang cedera dalam kejadian 12.15 tengah hari itu ialah Auni Atirah Ramli dari Kolej Poly-Tech MARA, Kota Bahru, Nooratitah Che Hassan dari Universiti Teknologi Mara, Machang, Nur Shafira Jali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Abdu Aziz Romeli dari Kolej Poly-Tech MARA, Kota Bahru dan seorang kakitangan penganjur rombongan itu Azmi Mohamed serta pemandu bot Azizi Mohamad.
Kesemua yang cedera dikejarkan ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Mohd Zamri berkata kejadian berlaku apabila mangsa bersama 14 penuntut dan kakitangan dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dikatakan dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian setelah mengikuti Himpunan Mahasiswa Anak-Anak Kelantan (HIMSAK) di pulau itu kelmarin.
Bagaimana pun bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan teknikal sebelum terbalik dan menghempap mangsa dan penumpang lain dalam bot tersebut.
“Siasatan awal mendapati kesemua penumpang yang menaiki bot terbabit memakai jaket keselamatan dan kebanyakan mereka yang cedera ialah akibat terseliuh tangan, luka dan bengkak selepas ditindih bot berkenaan,” katanya kepada pemberita semalam.
Beliau berkata dilaporkan seramai 60 penuntut dari pelbagai universiti telah mengikuti satu perhimpunan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan mereka telah dibawa ke beberapa buah pulau di Terengganu termasuk Pulau Perhentian untuk menjalani sesi latihan kepimpinan.
Mereka kemudian balik ke daratan semalam dengan menggunakan empat buah bot pelancong termasuk bot yang dinaiki mangsa dari Pulau Perhentian, kata Mohd Zamri.
“Saya hanya mampu menjerit ketakutan apabila bot yang kami naiki berpusing sebanyak dua kali sebelum terbalik hingga kesemua penumpang tercampak ke dalam laut,” kata seorang mangsa bot terbalik itu, Auni Atirah.
Mengimbas kembali kejadian itu, Auni, 21, pelajar Kolej Poly-Tech Mara, Kota Baharu, Kelantan berkata keadaan menjadi kelam kabut apabila bot yang mereka naiki dari Pulau Perhentian tiba-tiba menjadi laju dan hilang kawalan.
Kejadian itu berlaku di kawasan Pulau Rhu, kira-kira lima kilometer dari jeti Kuala Besut.
“Ketika itu kami semua kelam kabut untuk menyelamatkan diri dan bersyukur apabila sebuah bot datang untuk menyelamatkan kami, tetapi saya sangat ralat kerana tidak sedar Norhasibah Husna terhimpit di bawah bot,” katanya yang ditemui pemberita di Unit Kecemasan, Hospital Besut.
Koordinator Pelancongan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Zalmi Omar, 41, adalah antara orang yang mula-mula sampai ke lokasi kejadian.
“Ketika saya dan tiga rakan sampai ke lokasi dengan bot penyelamat, saya dapati kesemua penumpang bot terapung-apung di dalam air,” katanya.
Katanya ketika itu mangsa (Nurhasibah) tidak kelihatan dan tiada seorang pun dari penuntut kumpulan itu yang memberitahu ketiadaannya.
“Kami hanya sedar Norhasibah Husna tiada setelah sampai ke Jeti Kuala Besut untuk membawa mereka naik ke darat, apabila seorang penuntut memberitahu dia tidak ada bersama”, katanya.
Kata Zalmi, apabila berpatah balik ke tempat bot yang terbalik, beliau dapati mangsa berada di bawah bot sebelum mengangkatnya naik ke dalam bot untuk membawanya ke hospital, namun dia disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
- Bernama
