Setelah mendapat perhatian awam, jutawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman meluahkan rasa tidak selesanya dalam isu 'lamaran' aktivis popular Abdul Rani Kulup Abdullah.
Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Datuk Vida meminta maruahnya dihormati atas dasar “kemanusiaan”.
“Ingat saya gelak-gelak happy sokmo (selalu), tak ada maruah ke?” katanya yang sering tampil dengan penampilan ceria.
Rani, yang terkenal kerana sering membuat laporan polis dan mempunyai penampilan unik, sebelum ini menyatakan hasrat memperisterikan Vida sebagai pasangan hidup ketiganya.
Vida bagaimanapun menolak lamaran itu kerana mahukan seseorang yang boleh memajukan perniagaannya selain memiliki mata kelabu, kaya, muda serta kacak.
Rani turut menyatakan hasrat sama kepada peguam lantang Siti Kasim. Siti bagaimanapun tidak mengambil serius lamaran itu dan merasakan Rani cuma bergurau.
Maruah janda
Menulis di Instagram, Vida bagaimanapun mengaku kadang-kadang tergelak juga dengan apa yang berlaku.
“Tapi kadang-kadang saya tergelak juga sebab dia memalukan diri sendiri. Cuma tolong hormati saya walaupun janda. Itu hak Allah nak nilai siapa saya. Orang yang rapat kenal saya macam mana.
“Wahai wanita sekalian, pertahankan maruah wanita kita. Saya mohon. Bayangkan saya berjuang, betapa sedihnya kita dipermainkan,” katanya.
Beliau juga menolak tanggapan “gatal” hendak mendirikan rumah tangga lagi.
“Ingat saya gatal sangat ke nak laki?” soalnya.
“Saya nak fokus bisnes sayalah. Kalau ada jodoh pun, saya nak yang sanggup hidup dengan saya, bukan setahun dua saja. Tetapi yang boleh didik anak, aturkan bisnes saya, bukan senang.”
Vida juga memuatkan video ringkas berkaitan perkara itu,yang menyaksikan beliau mengaku turut “down” dan geram dengan apa yang berlaku.
“Saya rasa argh! Geram. Apa pasal cerita-cerita macam ini. Ini maruah janda,” katanya.
