Syarikat Msia nafi tuduhan laku pembakaran terbuka di Riau
Syarikat-syarikat perladangan Malaysia hari ini menafikan dakwaan Menteri Perhutanan Indonesia, M S Kaban yang mereka melakukan pembakaran terbuka untuk membersihkan ladang kelapa sawit di Riau.
Syarikat-syarikat perladangan Malaysia hari ini menafikan dakwaan Menteri Perhutanan Indonesia, M S Kaban yang mereka melakukan pembakaran terbuka untuk membersihkan ladang kelapa sawit di Riau.
Penafian itu dibuat oleh ketua pegawai eksekutif atau wakil syarikat terbabit dalam pertemuan dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Peter Chin Kah Fui di pejabatnya di Putrajaya.
Kaban dilaporkan mendakwa lapan syarikat Malaysia terlibat dalam pembakaran terbuka di Riau tetapi Chin memberitahu pemberita selepas mesyuarat itu bahawa hanya lima disahkan syarikat Malaysia.
"Lima syarikat perladangan itu juga menjelaskan kepada saya yang mereka tidak melakukan pembakaran terbuka," katanya.
Sebaliknya, kata beliau, dalam mesyuaratnya dengan 18 syarikat perladangan Malaysia itu, kesemua mereka mendakwa berpegang kepada prinsip "pembakaran sifar" dalam operasi masing-masing di Sumatera, Kalimantan dan Riau.
Pembakaran ladang dan hutan di Indonesia dilaporkan menjadi punca utama fenomena jerebu yang melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sehingga darurat jerebu diisytiharkan di Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor Khamis lalu.
'Berpuas hati'
Menurut laporan Bernama, Chin berkata, syarikat berkenaan juga menegaskan, tidak masuk akal bagi mereka melakukan pembakaran terbuka sedangkan ladang kelapa sawit mereka yang kini berusia antara tujuh dan 11 tahun, sedang mengeluarkan hasil.
"Mereka memberikan penjelasan yang munasabah kepada saya dan saya berpuas hati dengan penjelasan itu," katanya.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan memaklumkan kepada mesyuarat Kabinet esok berhubung apa yang diketahuinya setakat ini mengenai kedudukan syarikat perladangan Malaysia di Indonesia dan kaitannya dengan jerebu.
Menurut Chin lagi, ada pihak pengurusan ladang yang hadir hari ini menjelaskan, pekebun kecil di sekitar sempadan ladang yang melakukan pembakaran terbuka tetapi ladang terbabit didakwa melakukan perbuatan itu.
"Kita percaya syarikat perladangan kita tidak melakukan pembakaran terbuka. Tetapi jika ada bukti yang menunjukkan sebaliknya, mereka perlu menghadapi tindakan undang-undang Indonesia," katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa beliau belum memperolehi sebarang bukti kukuh daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung pembabitan syarikat Malaysia dalam perbuatan membakar ladang untuk tujuan pembersihan.
Menurut Chin, sekarang bukan masanya untuk menuding jari kerana apa yang lebih penting ialah kedua-dua pihak bekerjasama dalam memastikan pembakaran terbuka yang membawa kepada pencemaran alam sekitar tidak lagi berlaku.

