Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang dalam kes samannya terhadap penulis buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM", memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa penulis berkenaan dan isterinya perlu membayar ganti rugi kepada beliau kerana menyebar fitnah melalui buku itu.

Anwar, 58, saksi tunggal dalam perbicaraan kes saman yang beliau kemukakan terhadap Abdul Khalid @ Khalid Jafri Bakar Shah dan isterinya, berkata defendan perlu membayar ganti rugi kepada beliau kerana tuduhan yang terkandung dalam buku berkenaan mengakibatkan kesusahan besar kepada beliau sekeluarga.

"Saya memohon agar defendan diarah membayar ganti rugi yang mencerminkan kesusahan yang mereka timpakan kepada saya, dengan mengambil kira kesannya bukan saja terhadap nama baik dan kerjaya politik saya, tetapi juga terhadap negara secara keseluruhannya, yang dilanda kekacauan berikutan pemecatan, perbicaraan dan hukuman penjara yang saya terima," kata bekas timbalan perdana menteri itu pada perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamed Hishamudin Mohamed Yunus bagi menentukan jumlah ganti rugi yang wajar beliau terima.

Menurut laporan Bernama , Peguam Abdul Rahman Adnan yang mewakili Anwar memberitahu pemberita bahawa jumlah ganti rugi yang dituntut oleh Anwar ialah RM6.5 juta.

Ucapan pembukaan plaintif yang dibaca oleh peguam Anwar, Sulaiman Abdullah, menyebut bahawa Anwar menuntut RM500,000 bagi setiap lapan tuduhan bersifat memfitnah yang terkandung dalam buku itu, RM500,000 kerana berkomplot, RM1 juta sebagai ganti rugi teruk dan RM1 juta sebagai ganti rugi teladan.

Dalam samannya, Anwar, yang ditemani isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta para penyokong beliau semasa di mahkamah, menamakan Khalid Jafri sebagai defendan pertama dan isterinya (Khalid) Rozihan A Ghani (yang disaman bagi pihak syarikat penerbitan Media Pulau Lagenda) sebagai defendan kedua.

Dalam saman berkenaan yang difailkan pada 18 Jun 1998, Anwar mendakwa kandungan buku itu bersifat jahat manakala pengarang buku itu dan isterinya telah berkomplot dengan musuh politik beliau bagi mengaibkan beliau dengan membuat tuduhan bahawa, antara lain, beliau seorang homoseks, pemimpin yang rasuah, melakukan zina hingga mempunyai anak luar nikah dan menjadi penderhaka.

Dalam keterangannya, Anwar memberitahu mahkamah bahawa penerbitan buku itu juga membawa keperitan kepada anak-anaknya yang kesemuanya menuntut di sekolah kerajaan dan, sebagai bapa yang bertanggungjawab, ini menyebabkan beliau berasa semakin terseksa.

Persepsi masyarakat

Menjawab soalan peguamnya, Sulaiman, mengenai kesan lain yang beliau alami berikutan fitnah itu, Anwar berkata persepsi masyarakat antarabangsa terhadap beliau sebagai negarawan yang berpegang kuat kepada perinsip dan dinamik dirasai telah rosak akibat pembohongan itu.

"Akibatnya, apabila saya dipecat daripada jawatan saya oleh Perdana Menteri dan dikenakan pertuduhan jenayah, hanya segelintir pemimpin Umno yang berani menyuarakan keperihatinan mereka," kata Anwar.

Menjawab satu lagi soalan Sulaiman, Anwar memberitahu mahkamah bahawa beliau pertama kali mengetahui tentang buku berkenaan pada petang 16 Jun 1998, apabila diserahkah senaskhah kepadanya oleh seorang kawan dan beliau amat terkejut serta jijik apabila melihat kandungannya.

Beliau berkata buku berkenaan diedar semasa Perhimpunan Agung Umno pada 1998 yang dihadiri kira-kira 8,000 orang, terdiri daripada anggota perwakilan, pemerhati dan wakil media.

Menjawab soalan Sulaiman sama ada beliau mengenali Khalid Jafri, Anwar berkata beliau tidak mengenali penulis itu dan tidak pernah bercakap atau berjumpa dengannya.

Katanya sebelum buku itu diterbitkan, Khalid Jafri tidak pernah menghubungi beliau bagi mendapatkan komen tentang tuduhan yang terkandung dalam buku berkenaan.

Anwar juga berkata menurut carian yang dibuat peguamnya, premis yang digunakan oleh penerbit buku itu adalah kepunyaan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Perbicaraan disambung esok bagi Sulaiman mengemukakan jumlah ganti rugi yang dituntut Anwar.