Terjemahan Datuk Dr Fong Chan Onn adalah calon paling kanan bagi jawatan naib presiden MCA dan faktor ini mungkin membantunya untuk mengekalkan jawatan tersebut dalam pertandingan sembilan penjuru dalam pemilihan parti itu Sabtu ini.

Datuk Dr Fong Chan Onn adalah calon paling kanan bagi jawatan naib presiden MCA dan faktor ini mungkin membantunya untuk mengekalkan jawatan tersebut dalam pertandingan sembilan penjuru dalam pemilihan parti itu Sabtu ini.

Dalam wawancara dengan malaysiakini, Dr Fong berkata, parti itu akan kehilangan satu pasukan yang baik yang diketuainya jika beliau gagal mempertahankan jawatan itu, dan ia juga mungkin menjejaskan kepentingan masyarakat Cina dalam Rancangan Malaysia Ke-9.

Malaysiakini: Bagaimanapun peluang Datuk berdasarkan kempen yang dijalankan?

Dr Fong: Saya telah berkempen sejak enam tahun yang lalu. Para perwakilan sudah matang. Dalam setiap pemilihan parti, mereka akan menilai seseorang itu berdasarkan rekod prestasi mereka dan ia bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam tempoh satu bulan. Sejak saya menjadi timbalan menteri (pendidikan 1990-1999, dan kini Menteri Sumber Manusia), Saya telah bekerja kuat.

Maksudnya, perwakilan harus mengundi Datuk berdasarkan rekod prestasi Datuk?

Begitu harapan saya

Adakah Datuk merasa amat tertekan untuk mengekal jawatan (naib presiden) kali ini memandangkan Datuk merupakan calon naib presiden paling kanan sekarang?

Dalam apa jua pertandingan, memang ada tekanan...jadi, tidak betullah nak kata tidak ada tekanan.

Bagaimanapun dalam kes Datuk?

Tentulah terdapat tekanan. Ini adalah satu pertandingan dan kita perlu menerima keputusan para perwakilan. Bagaimanapun, kita mesti mencuba yang terbaik. Sejak saya memegang jawatan itu, saya tidak pernah berhenti bekerja dan saya telah menyumbangkan kepada parti. Saya tidak segan dengan apa yang saya lakukan sebagai timbalan menteri pendidikan (sebelum ini), dan juga sumbangan saya kepada parti, terutama dalam mengendalikan biro ekonomi (pengerusi). Saya menyelesaikan banyak isu dan membantu penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman...jadi, saya percaya kita perlu menyerahkannya kepada perwakialn untuk membuat pilihan.

Keadaan sekarang nampaknya lebih memihak kepada pemimpin muda. Dalam kes Datuk, apakah soal umur turut menjadi faktor?

Saya yakin para perwakilan sudah cukup matang untuk menggabungkan pemimpin pelbagai peringkat umur dan saya pasti mereka tahu apa yang mereka mahu.

Terdapat banyak fitnah yang disebarkan melalui SMS sewaktu kempen....

Sebenarnya, kempen telah berjalan sejak lama dulu dan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Saya rasa sebahagian besar calon sudahpun melakukan yang terbaik.

Adakah ini menanda kita akan menyaksikan satu pertandingan sengit?

Sudah tentu ianya sengit. Tetapi ianya demokratik. Ini menunjukkan parti ini sentiasa segar, semua kaedah (berkempen) dijalankan secara matang, (dan calon-calon) berkawan dan baik antara satu sama lain.

Apakah pandangan Datuk terhadap langkah menyatakan sokongan terbuka kepada kepimpinan parti sekarang?

Saya rasa, pemimpin negeri boleh memutuskan apa yang mereka lakukan, (kerana) ini adalah sebuah parti yang demokratik. Lagi pun, undi perwakilan adalah rahsia. Mereka tidak sepatutnya takut untuk mengundi mana-mana calon yang mereka sokong.

Bagaimanakah Datuk melihat pertandingan antara Datuk Seri Ong Ka Ting dan Datuk Dr Chua Jui Meng untuk jawatan presiden?

Ia hanyalah satu pertandingan.

Bagaimana pula dengan manifesto Datuk Dr Chua Jui Meng?

Saya tidak mahu mengulasnya kerana dalam parti kita, strategi utama ialah apa yang ada katakan mengenai diri anda sendiri. Anda tidak bercakap mengenai orang lain, bercakap mengenai diri anda dan biarkan para perwakilan membuat pilihan.

Apakah pendapat Datuk mengenai sifat berkerja sebagai satu pasukan dalam parti sekarang?

Saya selalu menekankan bahawa dalam MCA, kita bekerja sebagai satu pasukan. Saya menekankan bahawa kita memerlukan satu pasukan di mana anggotanya dari pelbagai latarbelakang. Dalam kes saya, saya telah memberitahu para perwakilan yang saya temui, yang saya mahu membantu (parti) dengan memanfaatkan pengalaman dan latarbelakang unik saya sebagai seorang ahli pendidikan dan ekonomi, terutama dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila kerajaan akan memperkemaskan RMK9.

Adalah penting bagi MCA mempunyai satu pasukan ekonomi yang baik untuk membuat persediaan dan mengemukakan hujah-hujahnya kerana RMK9 akan menentukan kejayaan atau kegalaman Wawasan 2020. Ia akan juga menentukan masa depan masyarakat Cina dalam tempoh 10 tahun datang.