Abim dan Just sambut baik perjanjian damai di Aceh
International Movement for a Just World (Just) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini menyambut baik perjanjian damai yang dimeterai antara kerajaan Indonesia dan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) di Helsinki Isnin lalu.
International Movement for a Just World (Just) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini menyambut baik perjanjian damai yang dimeterai antara kerajaan Indonesia dan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) di Helsinki Isnin lalu.
Perjanjian Damai Aceh telah menamatkan perang saudara selama tiga dekad yang mengorbankan 15,000 orang sejak 1976.
Dalam satu kenyataan, Just menyatakan walaupun perjanjian damai sebelum ini gagal, kali ini ia lebih optimis berikutan GAM dan kerajaan Indonesia saling mencapai kompromi dengan memeterai perjanjian itu.
"Bagaimanapun cabaran paling kritikal dalam jangka masa terdekat ialah pelucutan senjata pejuang kemerdekaan GAM dan pengunduran tentera Indonesia dari Aceh," menurutnya.
Menurut Just, apa yang signifikan ialah GAM telah menggugurkan tuntutannya bagi Kemerdekaan Aceh dan sebaliknya memilih autonomi dalam Republik Indonesia.
Rundingan
Just juga berharap konflik serupa di Sri Lanka, Selatan Filipina dan Selatan Thailand dapat diselesaikan menerusi perbincangan dan rundingan.
Sementara itu, Presiden Abim Ahmad Azam Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata pergerakan itu sentiasa berdoa agar penyelesaian secara aman bagi menamatkan perang tersebut yang tercetus sejak 1976.
"Berhubung isu Aceh, kami merasa seolah-olah tidak efektif kerana kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang akan dilihat sebagai berat sebelah. Kami banyak berkorban untuk tidak terbabit malahan pada dimensi kemanusiaan konflik itu.
"Ia agak lama tertangguh, namun kami tumpang gembira bagi semua rakyat Indonesia, terutamanya penduduk Aceh," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.