Status kualiti udara di seluruh negara kian pulih daripada jerebu apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua kawasan hari ini mencatatkan paras baik dan sederhana.

Bacaan IPU Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 11 pagi menunjukkan ianya berada di paras 32 dan 72, tanpa satupun kawasan mencatatkan kualiti udara "tidak sihat".

Bacaan IPU tertinggi sebanyak 72 dicatatkan di kawasan Manjung di Perak manakala Bukit Rambai, Melaka mencatatkan bacaan kedua tertinggi pada paras 71. Bacaan terendah pula dicatatkan di Pengkalan Chepa, Kelantan (32).

IPU di Miri, yang mencecah paras tidak sihat semalam akibat kebakaran di Kalimantan dan Sarawak, turun ke paras 62 jam 11 pagi ini berbanding 76 pagi semalam.

Kualiti udara di kawasan lain di Sarawak dan Sabah sejak 24 jam lalu kekal pada tahap baik dan sederhana.

Bacaan IPU di kawasan Lembah Klang juga tidak mencatatkan perubahan ketara dengan Kajang mencatatkan paras terendah (47) manakala paras tertinggi dicatatkan di Petaling Jaya (68). Kuala Selangor yang pernah diisytiharkan darurat Jerebu bersama Pelabuhan Kelang Khamis lalu, turut mencatatkan bacaan 68.

Titik panas

Bacaan yang dikumpul oleh 51 stesen pengawasan IPU di seluruh negara, menunjukkan 16 kawasan mencatatkan kadar IPU 0-50 (paras baik) manakala 35 stesen lagi mencatatkan kadar IPU 50-100 (paras sederhana).

Penilaian ukuran IPU adalah secara berikut 0-50 dikategorikan sebagai Baik; 51-100 Sederhana; 101-200 Tidak Sihat; 201-300 Sangat Tidak Sihat dan melebihi daripada angka itu ditakrifkan berbahaya.

Menurut Bernama, JAS juga melaporkan, satelit Pusat Kajicuaca Khas Asean (ASMC) semalam mengesan 32 titik panas di Wilayah Utara Sumatera, 59 di Kalimantan, 15 di Pahang dan 17 di Kuching, Sri Aman dan Sibu.

Langkawi, Butterworth di Pulau Pinang, Sitiawan di Perak dan Melaka mencatatkan jarak penglihatan antara tiga kilometer dan lima kilometer manakala Prai di Pulau Pinang sejauh dua kilometer.

Jarak penglihatan di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Alor Setar, Chuping di Kedah, Subang di Selangor, Petaling Jaya, Kuching, Sri Aman, Sibu dan Limbang di Sarawak dan Labuan di Sabah pula antara enam kilometer dan lapan kilometer.

Menurut JAS, jarak penglihatan di kawasan lain melebihi 10 kilometer.