Politik matang PAS tak main hentam saja

       

Pertemuan PAS dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini adalah satu lagi contoh amalan pendekatan politik matang dan sejahtera parti itu, kata timbalan presidennya.

Menurut Datuk Tuan Ibrahim Tuan walaupun menjadi parti pembangkang PAS tidak akan menghentam kerajaan tanpa sebab sebaliknya mempunyai pendekatan sendiri.

"Dan ini pendekatan yang dibawa PAS, kerana PAS tak hentam sahaja.

"Kami pergi berjumpa dengan pihak berkenaan, buat dialog dan tengok pandangan mereka dan kita bertukar-tukar pandangan.

"Ini pendekatan politik dalam PAS, yang kita sebut sebagai politik matang," katanya kepada media selepas bertemu pegawai tertinggi SPRM di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya hari ini.

Pertemuan itu diadakan empat hari selepas PAS menyatakan rasa puas hati dengan penjelasan diberi pegawai tertinggi 1MDB ketika pembangkang lain terus menjadikan syarikat pelaburan milik negara itu sebagai senjata terhadap kerajaan Datuk Seri Najib Razak.

Delegasi PAS dalam sesi pertemuan itu juga diketuai Tuan Ibrahim manakala 1MDB diwakili ketua pegawai eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy.

Ia berlangsung ketika pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) masih gagal bersemuka dengan Arul Kanda untuk mendapatkan penjelasan mengenai kedudukan 1MDB.

Tuan Ibrahim kemudian menjelaskan Arul Kanda mungkin bersedia bertemu PAS kerana parti itu mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dan bukannya politik “fitnah dulu, bayar kemudian.

Gagasan politik matang dan sejahtera itu dibawa PAS bersama sekutunya Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) yang diketuai bekas pemimpin kanan Umno dan menteri kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Anggota terlalu sedikit

Beliau turut hadir dalam perjumpaan hari ini.

Kata Tuan Ibrahim, mereka bertemu dengan SPRM tadi sebagai tanda sokongan mereka kepada usaha agensi terbabit memerangi rasuah.

Pada masa sama katanya mereka mendengar penjelasan dan berkongsi pandangan mengenai isu semasa berkaitan rasuah.

Sebagai contoh, kata Tuan Ibrahim, isu 1MDB yang memerlukan PAS mendapat maklumat jelas mengenainya.

"Kita tahu memang teruk sangat apa yang berlaku, tapi apa jalan keluar?

"Kami berkongsi pandangan. Apa yang tak betul, kita hentam dan lawan habis-habisan. Tapi yang perlu dibantu, kita akan bantu," katanya.

Tuan Ibrahim yang kini menjalankan tugas presiden PAS mengakui imej negara perlu dipulihkan ekoran pendedahan mengenai skandal 1MDB.

"Antara agensi yang boleh membina semula imej negara kita ialah SPRM," katanya.

Justeru PAS berharap kerajaan boleh memberi sokongan tambahan termasuk berkaitan jumlah kakitangan dan meluaskan bidang kuasa SPRM.

Sementara itu Abdul Kadir berkata beliau "terkejut" apabila diberitahu SPRM hanya mempunyai 1,900 orang kakitangan beruniform di seluruh negara.

"Ia terlalu kecil sedangkan sedangkan kita tahu rasuah ini sudah mengakar.

"Dalam keadaan itu, rakyat mendesak SPRM melipat-gandakan usaha, namun peruntukan pula dipotong," katanya.

[Baca berita asal]

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda