Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Kes akaun Zahid', AMANAH akan hantar memo ke SPRM
Diterbitkan:  Aug 11, 2017 10:28 PM
Dikemaskini: 2:33 PM

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) akan berjumpa dan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujudnya RM230 juta dalam akaun Datuk Seri Zahid Hamidi.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin berkata memorandum tersebut akan di hantar ke pejabat SPRM di Putrajaya pada 14 Ogos 2017 jam 11.30 pagi.

"Memorandum tersebut bertujuan menuntut jawapan yang telus dan terbuka daripada pihak SPRM," jelas Shazni dalam suatu kenyataan media hari ini.

Shazni berkata pihaknya tidak mahu kredibiliti SPRM terus-terusan dipertikai seolah-olah hanya bertindak ke atas kes-kes tertentu sahaja.

"Lebih penting, kita mahu tahu bila siasatan ke atas dakwaan RM230 juta ini akan dimulakan.

"Sebagai agensi paling berautoriti memerangi rasuah, penting untuk SPRM dilihat serius dalam setiap kes yang dilaporkan media," katanya lagi.

Dr Mahathir Mohamad menimbulkan soal kekayaan luar biasa Zahid sewaktu pengisytiharan harta yang dibuat ketika beliau dilantik sebagai ketua pemuda Umno.

Ahmad Zahid Hamidi telah pun menyatakan kesediaan beliau disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Zahid juga mendesak SPRM untuk menyiasat kekayaan Mahathir dan keluarganya.

Dua hari lalu, dilaporkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dikatakan menyerbu sebuah syarikat milik Datuk Mokhzani Mahathir, salah seorang anak lelaki Mahathir.

Lihat Komen
ADS