Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 534 orang

Angka mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 534 orang sehingga 11.00 malam tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata kesemua mangsa daripada 135 keluarga itu ditempatkan di sembilan pusat pemindahan banjir di daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Effendy berkata dua pusat pemindahan baharu dibuka malam ini iaitu pusat pemindahan di Surau Bukit Baru yang menempatkan 13 mangsa dengan dua keluarga dan di Balai Raya Kampung Seri Jeram, Alor Gajah (15 mangsa, 3 keluarga).

Beliau berkata jumlah mangsa di empat pusat pemindahan mengalami peningkatan iaitu seramai 255 mangsa dengan 62 keluarga di Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Abdullah, Projek Perumahan Rakyat Krubong (83 mangsa, 21 keluarga), Balairaya Peringgit (27 mangsa, 11 keluarga) dan Balairaya Pengkalan Batu (31 mangsa dengan tujuh keluarga).

“Jumlah mangsa di tiga pusat pemindahan lain tidak berubah iaitu seramai 20 mangsa dengan empat keluarga di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Paya Ikan, Sekolah Agama JAIM Tanjung Minyak (29 mangsa, lapan keluarga) dan Sekolah Kebangsaan Tehel di Jasin (61 mangsa, 17 keluarga),” katanya kepada pemberita.

-Bernama

Lihat Komen
ADS