Terjemahan Sebuah pertubuhan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), telah memfailkan aduan rasmi kepada wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung tindakan diambil oleh sebuah sebuah kerajaan negeri untuk mendakwa Ayah Pin dan pengikutnya.

Ayah Pin, 65, yang nama sebenarnya Ariffin Mohammad, dan seramai 150 pengikutnya tinggal di sebuah perkampungan yang dikenali sebagai "Kerajaan Langit' yang terletak dekat Jerteh, Terengganu.

Beliau mendakwa sebagai kelahiran pemimpin suci sebuah agama utama di dunia dan menyebarkan kesejagatan agama sejak awal tahun 1980-an. Bagaimanapun, pihak berkuasa agama telah mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkannya sebagai ajaran sesat pada tahun 1997.

Dalam sepucuk surat bertarikh 15 Ogos, Penyelaras Suaram, Seah Li Ling berkata, pihaknya mendapati 'kumpulan minoriti' itu telah mengamalkan 'kepercayaan mereka secara aman dan mematuhi undang-undang'.

"Tidak ada aktiviti mereka yang menceroboh hak-hak orang lain atau menggugatkan kesejahteraan sosial. Oleh itu, kami melihatkan penahanan mereka sebagai tidak mengikut undang-undang dan tindakan pihak berkuasa terhadap mereka juga tidak sepatutnya dilakukan," katanya.

"Memandangkan kegawatan perkara ini, kami meminta campurtangan segera PBB dalam mengembalikan keadilan kepada Ayah Pin dan pengikutnya," katanya.

Suaram menamakan tujuh individu sebagai 'orang yang bertanggungjawab' melakukan pelanggaran hak asasi manusia terhadap Ayah Pin dan pengikutnya.

Binaan raksasa

Mereka ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Md Zin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid; Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar; Ketua Polis Negara, Tan Sri Bakri Omar; Mufti Terengganu Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir dan Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Terengganu.

Perkampungan tersebut yang mempunyai binaan-binaan raksasa, telah diserbu oleh pegawai jabatan agama negeri dan pihak polis pada 2 Julai lalu.

Pada 18 Julai lalu, sekumplan 50 orang telah menyerang perkampungan tersebut pada awal pagi dan merosakkan serta membakar binaan-binaan raksasa itu. Menurut Suaram, setakat ini, hanya dua tangkapan dibuat berhubung kejadian tersebut.

Dua hari kemudiannya, para pegawai agama menyerbu perkampungan tersebut, Manakala Ayah Pin masih belum berjaya ditangkap, 45 pengikutnya telah ditahan dan didakwa di mahkamah syariah kerana memilik dokumen yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Jika didapati bersalah, mereka menghadapi hukuman denda maksima RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, mereka menghadapi masalah untuk mendapatkah khidmat peguam syarie di Terengganu kerana mereka tidak bersedia untuk berbuat demikian kerana ia membabitkan 'isu yang sensitif'.

Manakala peguam syarie dari luar Terengganu tidak mempunyai kuasa untuk mewakili mereka.

Binaan dan bangunan lain di perkampungan tersebut telah dirobohkan awal bulan ini.