Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini terhadap lima pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor, termasuk mendakwa dirinya sebagai rasul.

Abdul Kahar Ahmad, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Saarani Ismail.

Mengikut pertuduhan, Abdul Kahar didakwa telah menyatakan, mendakwa dan mengisytiharkan diri sebagai rasul orang Melayu di zaman ini sedangkan pernyataan dan dakwaan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Tertuduh juga didakwa menjelaskan doktrin palsu yang bertentangan dengan hukum syarak berhubung agama Islam, antaranya dia menyatakan sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar, dan ibadah haji pula sia-sia dan merugikan.

Bagi tuduhan ketiga, Abdul Kahar didakwa mengingkari, melanggar arahan Mufti iaitu masih menjelaskan amalan dan mengajar Ajaran Kahar Ahmad di hadapan tiga lelaki sedangkan ia telah difatwakan sebagai menyeleweng dari Islam.

Pertuduhan keempat menyebut bahawa tertuduh didakwa telah mempersendakan amalan Islam dengan menyatakan: "Ibadah haji ialah perkara yang diada-adakan oleh kerajaan Arab Saudi dengan tujuan mengaut keuntungan" dan "Buat apa sembahyang tunggang-tonggek, membebel sendirian dan ia umpama orang mabuk dan berjudi".

Ikatjamin RM8,000

Pertuduhan terakhir mendakwa bahawa Abdul Kahar telah menyebarkan pendapat dan ajaran Kahar, antaranya rasul tidak benar, yang bertentangan dengan hukum syarak serta fatwa yang masih berkuat kuasa di Selangor.

Tertuduh yang tidak bekerja, didakwa melakukan kesalahan itu di No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Hulu Klang, antara 19 Mei dan 23 Jun lalu.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 8(a), 7, 12(c), 10(b) dan 13 enakmen itu membolehkan Abdul Kahar didenda RM21,000 dan dipenjara selama beberapa tahun, jika sabit kesalahan.

Menurut Bernama, mahkamah membenarkan Abdul Kahar dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dan menetapkan 21 September depan untuk perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syarie Khairuddin Abdul Samad, Mohd Kamal Ismail dan Maimun Mohamad sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Abdul Kahar yang diiringi puluhan pengikutnya dilihat meninggalkan kawasan mahkamah pada jam 2.30 petang selepas membayar wang jaminan.