Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pekebun kecil getah Sarawak terima peruntukan RM41.2 juta

Seramai 13,182 pekebun kecil di Sarawak telah menerima manfaat daripada peruntukan berjumlah RM41.2 juta yang disalurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi Program Tanam Semula Getah tahun ini.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata peruntukan yang disalurkan menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu melibatkan 1,802 hektar bagi Program Tanam Semula Getah Semasa dan 23,843 hektar untuk Program Tanam Semula Getah Sambungan.

"Daripada jumlah itu, pejabat RISDA Bahagian Sibu yang bertanggungjawab bagi kawasan Bahagian Sibu, Kapit dan Mukah menerima peruntukan sebanyak RM11.08 juta untuk Program Tanam Semula Getah Semasa dengan keluasan 754 hektar melibatkan 335 peserta.

“Ia turut merangkumi Program Tanam Semula Getah Sambungan seluas 4,367 hektar melibatkan 1,365 peserta," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kasihi Pekebun RISDA Bahagian Sibu 2017 di Rumah Cecilia Bunsu, Nanga Kebiau dekat sini hari ini.

Daripada jumlah itu, beliau yang juga Anggota Parlimen Kapit berkata 1,038 hektar adalah di kawasan Parlimen berkenaan dengan 539 peserta dan daerah Song pula melibatkan tanah seluas 194 hektar dengan 94 peserta.

"Kawasan tanam semula tersedia dijangka akan terus bertambah kerana terdapat potensi, kawasan seluas 700 hektar telah dikenal pasti dan permohonan daripada pekebun kecil juga juga telah diterima," kata beliau.

Pada tahun ini juga, RISDA telah memperuntukkan RM1.2 juta untuk Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Keusahawanan kepada pekebun kecil yang mana pejabat RISDA Bahagian Sibu telah menerima peruntukan berjumlah RM300,000.

Melalui program itu, 47 usahawan bimbingan RISDA Bahagian Sibu telah diwujudkan dan sembilan daripada mereka adalah dari kawasan Parlimen Kapit.

Nanta turut memberitahu bahawa RM275,000 telah diperuntukkan untuk melaksanakan program tuisyen rakyat kepada 22 buah sekolah di seluruh negeri dan RISDA Bahagian Sibu melaksanakan program itu di tujuh buah sekolah yang mana satu daripadanya dilaksanakan di kawasan Parlimen Kapit.

RISDA Sarawak turut memperuntukkan sebanyak RM18,000 bagi Program Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) untuk aktiviti 15 PWPK yang mempunyai 330 orang anggota.

-Bernama

Lihat Komen
ADS