Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri: Umno mesti tegas letak calon di kawasan Melayu

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengingatkan anggota parti itu agar berfikir dengan lebih serius kerana 'masa untuk berjoli' sudah tiada.

Beliau berkata Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah semakin hampir menjadikan sikap berasa selesa dalam kalangan anggota perlu dikikis bagi memastikan kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN), setelah meletakkan calon boleh menang.

Beliau juga mahu setiap tindakan yang akan diambil pada PRU14 dilakukan secara realistik, termasuk dalam meletakkan calon dengan mengambil kira kedudukan kawasan itu.

"Umno pada hari ini mesti tegas meletakkan calon bertanding contohnya sekiranya kawasan berkenaan 50 peratus pengundinya adalah Melayu maka wakil daripada Umno harus diletakkan.

"Sebagai contoh di Perak pada pilihan raya umum lalu, kita (Umno) mengambil semula dua kerusi iaitu (kawasan Dewan Undangan Negeri) Pasir Panjang serta Behrang dan menang. Pada 2008 parti komponen bertanding tetapi kalah."

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kuantan di Kuantan, hari ini. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Kuantan Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.

Menurut Mohamed Nazri Parlimen Kuantan mempunyai 65 peratus pengundi Melayu, menjadikan peluang Umno untuk merampas kembali kerusi itu daripada PKR lebih cerah.

Selain itu, Mohamed Nazri juga mengingatkan pimpinan dan anggota Umno agar memperkukuhkan jentera parti dalam PRU14, khususnya dalam melawan serangan fitnah daripada pembangkang.

“Umno perlu kuatkan pasukan sebelum berdepan musuh dan yakin apa sahaja fitnah serta tohmahan kepada pucuk pimpinan tidak benar sama sekali. Terus bekerja untuk membantu rakyat, ketepikan segala fitnah yang dilemparkan serta jangan sesekali ada rasa was-was di dalam hati," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS