Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Nan persalahkan Dr Khir atas kekalahan BN di Selangor

Barisan Nasional (BN) Selangor perlu mengenal pasti kelemahan parti itu selepas gagal merampas kembali negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau mengakui bahawa antara punca kekalahan BN pada PRU12 adalah akibat kemarahan rakyat terhadap bekas menteri besar Dr Mohamad Khir Toyo dalam isu seperti pencerobohan kuil dan anugerah penyapu kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri.

"Tapi, apabila beliau sudah tidak lagi menjadi menteri besar selepas itu, kenapa kita masih kalah pada PRU13? Saya minta kepada mereka (BN) cari punca kenapa ini berlaku, mesti ada sebab.

"Petaling Jaya Utara ini pun dahulu (Petaling Jaya), BN pegang empat penggal, dan BN kalah pada PRU12, jadi perlu cari punca kekalahannya dan buat post-mortem supaya kita dapat menggunakan pendekatan baharu untuk capai kemenangan semula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, semalam.

Pada PRU12 dan PRU13 DAP mengalahkan BN menerusi calonnya Tony Pua.

Terdahulu, Tengku Adnan, yang juga Setiausaha Agung BN, berkata rakyat perlu menyedari bahawa pembangunan dan kemajuan pesat negara hari ini adalah hasil perancangan jelas kerajaan pimpinan BN.

"Jadi, saya nak merayu kepada semua tidak kira bangsa India, Cina dan Melayu merenung kembali siapa kita yang dahulu dan bagaimana kita dapat capai sekarang ini semua," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS