Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin BERSATU kongsi 'gambar seribu makna'
Diterbitkan:  Aug 14, 2017 2:05 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Kata orang, sekeping gambar dapat menyampaikan seribu makna.

Sekurang-kurangnya itulah yang cuba dilakukan oleh ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Batu Pahat Dr Mohd Zaid Mohd Yusof.

Beliau hari ini berkongsi sekeping gambar mesranya bersama anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang Abdul Aziz Ismail, yang sebelum ini didakwanya akan melompat ke parti serpihan Umno itu.

“Pertemuan mesra bersama YB ADUN Senggarang Abdul Aziz Ismail,” menurut kapsyen gambar itu yang dikongsi di Facebook BERSATU Batu Pahat.

Gambar itu menunjukkan Mohd Zaid bersama Abdul Aziz sedang duduk di kedai makan dan mereka bersalaman.

Bagaimanapun, gambar yang dimuat naik bersama kenyataan yang bertulis “Nota untuk Umno Johor” itu tidak dinyatakan tarikh serta di mana ia diambil.

Mohd Zaid juga tidak mengulas secara langsung penafian Aziz bahawa beliau akan meninggalkan Umno dan menyertai BERSATU.

Bagaimanapun, Mohd Zaid hanya menyampaikan pesanan umum kepada Umno Johor yang menurutnya tidak perlu bimbang dengan penghijrahan anggota mereka ke BERSATU “sekiranya masih kuat”.

Katanya, setiap warganegara Malaysia mempunyai hak untuk menganggotai atau meninggalkan sesebuah parti memandangkan ia asas dalam demokrasi.

"Yang jelas ramai ahli Umno yang telah menyertai BERSATU. Adalah mustahil mereka menyertai BERSATU tanpa sebab.

"Ini kerana mereka sudah muak dan jelik dengan pelbagai isu salah guna kuasa dan yang terbaru, adegan kleptokrasi pimpinan tertinggi Umno," katanya.

Sebelum ini, Mohd Zaid mendakwa terdapat seorang ADUN Umno akan menyertai BERSATU susulan tidak berpuas hati dengan kepimpinan BN negeri kerana tidak dicalonkan semula untuk bertanding pada pilihan raya umum.

Rundingan dikatakan telah berlangsung di Bukit Perdana, Batu Pahat awal bulan lalu.

Lihat Komen
ADS