Pencabar jawatan presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng mendakwa 'kenyataan bersama' yang dikeluarkan oleh Presiden MCA, Datuk Ong Ka Ting 'banyak ditiru' daripada manifesto pemilihan yang dikeluarkan sebelum ini.

Sambil memegang salinan kenyataan tersebut, Chua memberitahu satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini: "Tiba-tiba sahaja ada orang keluarkan manifesto. Tetapi dia memanggilnya kenyataan. Lihatlah pada kenyataan bersama ini, ia mengandungi perkara yang terkandung dalam manifesto saya...saya amat berbesar hati sekali..."

Isnin lalu, sewaktu proses penamaan calon, Ong dan timbalannya Datuk Chan Kong Choy mengedarkan 'kad kemajuan' mengenai apa yang telah mereka lakukan sejak mengambil alih pucuk pimpinan MCA dan rancangan mereka jika dipilih semula.

Bagaimanapun, Ong dan Chong menafikan bahawa kenyataan bersama itu adalah satu manifesto yang dikeluarkan untuk mendapat perhatian para perwakilan ke pemilihan parti Sabtu ini.

Bulan lalu, Chua menerbitkan manifesto pemilihannya. Bagaimanapun, Ong kemudian berkata beliau tidak akan mengeluarkan manifesto kerana beliau telahpun menangani semua perkara yang dibangkitkan oleh Chua dalam manifestonya itu.

'Nasihat' untuk Ong

Sambil menawarkan 'nasihat' yang mengandungi sindirin dan yang secara tidak langsung ditujukan kepada Ong, Chua berkata, seseorang pemimpin sepatutnya mampu menerbitkan satu manifesto bersama visinya.

"Seorang calon presiden mesti mampu menyatakan visinya secara hitam putih. Jika tidak, mengapa bercakap mengenai Wawasan 2020?," katanya, merujuk kepada dasar negara untuk mencapai status negara maju.

Chua berkata, beliau mengadakan sidang akhbar hari ini kerana ia merupakan satu-satunya cara yang ada baginya untuk menyampaikan mesej kepada para perwakilan.

Beliau mengulangi dakwaannya bahawa perwakilan telah 'diarahkan' supaya tidak mengadakan pertemuannya dengannya.

"Mengapa semua perwakilan tidak boleh berjumpa dengan saya? Sebelum ini mereka sentiasa mengalu-alukan saya selaku seorang naib presiden. Tidak mungkin mesej itu datangnya dari langit," katanya.

Chua juga menegaskan yang beliau tidak pernah mengubah pendiriannya berhubung bantahannya terhadap langkah parti itu mengambilalih Nanyang Holdings Bhd pada bulan Mei 2001.

"Pendirian saya adalah jelas...Saya tidak pernah kesal mengambil pendirian tersebut. Kita mesti ada pendirian. Dan saya rasa ianya adalah pendirian yang betul," tegasnya.

Katanya, beliau akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji semula pengambilan Nanyang jika beliau dipilih dalam pemilihan Sabtu ini.

Pengambilalihan Nanyang merupakan satu sebab utama yang mencetuskan krisis kepimpinan parti itu.

Dalam satu sidang akhbar, Setiausaha Agung MCA, Tan Sri Dr Ting Chew Peh memberi jaminan kepada para perwakilan mengenai kerahsiaan undian mereka, dan berkata mereka hendaklah membuat pilihan tanpa sebarang takut atau bimbang.

Beliau juga menasihatkan mereka supay atidak menunjukkan kertas undian mereka kepada sesiapa sahaja dalam apa bentuk sekalipun.

Perhimpunan Pemuda dan Wanita MCA akan diadakan Jumaat ini manakala pemilihan pucuk pimpinan badan induk parti itu akan berlangsung pada hari Sabtu.